Belang Bertempat

Yang mana lebih penting akar umbi, atau yang berakar umbi?

BARU-BARU ini Belang singgah di pejabat seorang pegawai menteri kabinet dari UMNO di Putrajaya.

Hanya ada barang-barang biasa dan tiada perhiasan seperti pejabat pegawai lain yang Belang tengok.

Alasan yang diberi mudah sahaja, dia bukan hendak duduk selamanya di pejabat berkenaan. Apabila parlimen bubar dia akan keluar.

Itu cakap orang yang sedar akan keadaan sebenar dan tidak merancang untuk berakar umbi atau terus berpaut pada kerajaan yang rapuh kerana kelebihan sokongan tipis beberapa ahli parlimen sahaja.

Begitu juga selaku Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentunya akan mendengar cakap akar umbi dan bukannya mereka yang mula berakar umbi dan hati telah bertaut di tempat lain.

Tidak guna apa juga alasan untuk memurnikan cakap kluster yang telah berakar umbi di dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana akar umbi telah menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu iaitu salah sebuah parti komponen dalam kerajaan PN selain Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Akhirnya yang akan bekerja dan mengundi apabila pilihan raya diadakan nanti ialah mereka di akar umbi. Lebih tepat akar umbi inilah akan menentukan menang atau kalah sesebuah parti.

Jadi tidak perlulah melempar pelbagai tuduhan terhadap Presiden sebagai orang yang gagal menyatukan UMNO atau gagal membuktikan setiakawan di dalam kerajaan PN.

Kerajaan PN ini ditubuhkan setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) roboh. UMNO terpaksa menyokong Bersatu yang merupakan parti serpihan yang ditubuhkan untuk melenyapkan UMNO, demi memastikan rakyat tidak kembali diperintah oleh PH yang terbukti gagal tempoh 22 bulan menjadi kerajaan.

Pengorbanan yang diambil oleh UMNO terlalu besar kerana mereka terpaksa tidur sebantal dengan gunting di dalam lipatan, ibarat api di dalam sekam.

Setiap hari UMNO disiat dan ditikam dari belakang oleh rakan sekutu yang tidak boleh diyakini kesetiakawanannya.

Pas memang tidak merasainya kerana Bersatu bukan parti serpihan Pas. Bayangkan Pas terpaksa berada di dalam satu saf dengan Amanah. Rasanya lebih teruk mereka bertikam di belakang.

Jadi tidak payahlah Pas menyindir UMNO supaya menunjukkan setiakawan dan sebagainya kerana mereka tidak berada di tempat UMNO.

Baru ura-ura UMNO hendak bekerjasama dengan Amanah di Perak tempoh hari, Pas sudah jadi huru-hara. Ini belum UMNO bekerjasama dengan Amanah di peringkat kebangsaan.

Hentikanlah perbuatan tidak berfaedah menjahanamkan parti sendiri kerana akar umbi sudah bersuara dan mereka lebih rela kalah pada pilihan raya daripada terus berada di dalam kerajaan yang didominasi pengkhianat.

 

(Visited 660 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button