Nasional

Terus patuh SOP, amalkan norma baharu, titah Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan bahawa pemberian vaksinasi kepada seluruh penduduk Perlis yang layak melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), pengamalan norma baharu dan pematuhan SOP adalah ‘kunci’ bagi membendung virus Covid-19 yang kini membimbangkan semua daripada terus merebak di negeri ini.

Baginda mengingatkan kepada semua bahawa walaupun seseorang itu telah melengkapkan 2 dos vaksinasi sekalipun, namun mereka masih perlu untuk terus mematuhi segala bentuk SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan diri daripada terdedah kepada jangkitan yang seterusnya membahayakan bukan sahaja diri sendiri bahkan kepada ahli keluarga tersayang terutama ibu bapa dan anak-anak kecil.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat meninjau kerja-kerja menaiktaraf Pekan Lama Arau dengan mengecat setiap bangunan rumah kedai berwarna kuning atas inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis pada pagi tadi.

Projek berkenaan mendapat kerjasama Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) melalui Presidennya Datuk Keith Li Zhongping dan diselaraskan oleh pihak Perlis Volunteer Action Community (PVAC) dengan bantuan tenaga sukarelawannya dan juga beberapa buah NGO kebajikan lain di negeri ini termasuk para asnaf di persekitaran Kota Raja Arau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan tentang perlunya kesedaran oleh semua bahawa vaksin yang diberikan oleh kerajaan ketika ini mampu melindungi semua daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang boleh mengakibatkan kesan yang lebih teruk hingga memerlukan alat bantuan pernafasan dan mengakibatkan kematian yang tinggi.


Beliau mengajak semua supaya tidak lupa untuk mendaftar dan sentiasa menyemak tarikh temujanji serta hadirlah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima suntikan masing-masing.

Terang Dr Sirajuddin lagi, PICK Perlis akan terus dijalankan sehingga kadar vaksinasi keseluruhan di negeri ini mencapai 90% agar imuniti kelompok berjaya dibentuk dan seterusnya kita dapat kembali menjalani rutin kehidupan harian seperti biasa namun dalam norma baharu.

Untuk rekod, projek terkini merupakan fasa ke dua selepas fasa pertama berjaya dilaksanakan bersebelahan dengan Masjid Negeri Arau atas sumbangan pihak MAIPs dan YTSP Perlis atas sumbangan daripada ahli-ahli kumpulan Kayuhan TTG Kuala Lumpur.

(Visited 109 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button