Nasional

Pembinaan tol di Genting tidak wajar – Young Syefura

Sebagai Ahli Parlimen Bentong, saya telah membuat perbincangan dan meneliti perkara ini secara serius dengan merujuk beberapa pihak.

Saya berpendapat bahawa tindakan Genting Highland untuk membina tol di Gohtong Jaya adalah tidak wajar.

Ini atas beberapa faktor yang sepatutnya dipertimbangkan.

Pertama, Genting Highland merupakan antara destinasi utama pelancong dari dalam dan luar negeri. Untuk negara kita yang selalunya bersuhu tinggi, ketinggian Genting Highland dan segala keindahannya merupakan tempat untuk mendapatkan suasana yang sejuk dan nyaman. Ramai rakyat terutama yang marhaen selalu mengunjungi Genting untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Kedua, Genting Highland telah pun menjana keuntungan bertahun-tahun sepanjang pengoperasiannya sebagai pusat pelancongan. Walaupun berdepan kerugian sewaktu pandemik, Genting telah pun mencatat keuntungan sejurus selepas pembukaan pasca pandemik Covid-19.

Ketiga, disaat rakyat berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, tambahan plaza tol untuk pusat peranginan yang popular pastinya sedikit sebanyak membebankan rakyat dan tidak menguntungkan pihak Genting sendiri.

Keempat, jika pun pihak Genting benar-benar mahu menjana keuntungan tambahan melalui tol, sepatutnya dialog dan penglibatan awam dibuat sebelum melakukan sesuatu. Ini termasuklah siri perbincangan yang sepatutnya dibuat bersama pihak kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat.

Kelima, pihak Genting juga perlu mempertimbangkan hak penduduk di tempat terlibat yang mempunyai kediaman persendirian. Adakah penduduk ini akan dipaksa untuk membayar tol kepada Genting untuk keluar masuk ke kediaman mereka masing-masing?

Saya menyokong tindakan Majlis Perbandaran Bentong untuk mengeluarkan perintah berhenti kerja (stop work order) bagi projek tol ini.

Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tanpa merugikan mana-mana pihak.

Saya akan menghubungi pihak Genting untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang serius ini dan tindakan yang tidak bertanggungjawab yang telah dilakukan oleh mereka.

Kredit: Young Syefura

(Visited 32 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button