Agama

Tertunai sudah haji yang tertunggak…

Pada tahun 2020 aku dan isteri telah mendapat panggilan untuk menunaikan haji selepas rayuan dibuat di Tabung Haji.

Segalanya sudah selesai hanya tinggal untuk terbang ke tanah suci sahaja. Namun kita merancang, namun perancangan Allah yang sebenar-benarnya.

Dek kerana penularan Covid-19, tiada jemaah asing dibenarkan memasuki tanah haram ini.

Bagaimanapun selepas dua tahun menunggu akhirnya jemaah asing dibenarkan menunaikan haji, tetapi jumlahnya dikurangkan separuh dengan peraturan lebih ketat dan pemeriksaan kesihatan agak rigid.

Yang paling menyeramkan perlu melaksanakan PCR sebelum dibenarkan terbang.

Bagi aku dan isteri walaupun sedar kouta untuk Malaysia dikurangkan separuh, kami berusaha juga membuat rayuan.

Dengan dipandu syarikat pengendali haji CS Holiday, berita yang tidak diduga itu kami perolehi.

Ketika mendapat pesanan ringkas dari Tabung Haji bahawa aku terpilih menunaikan haji dan begitu juga isteriku, aku jadi pegun sambil hati tidak berhenti mengucap kesyukuran.

Sejak detik itu separuh jiwaku sudah berada di tanah suci. Dan bermulalah perjuangan yang luar biasa.

1. Kos menunaikan haji meningkat 20 peratus dan kami berdua menolak subsidi. Ini bermakna duit tabungan disediakan pada 2020 tidak cukup dan perlu dicari tambahan 20 peratus.

Bila sudah dijemput sebagai tetamu Allah segala usaha ditumpukan ke arah itu.

2. Pemeriksaan kesihatan terpaksa dilakukan segera tanpa sempat membuat persiapan. Lebih membimbangkan apabila makan dan minum tidak dijaga semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. Almaklumlah dua tahun raya tertangguh.

Tempoh dua tahun itu aktiviti fizikal berkurangan kerana sering dilaksanakan perintah berkurung bagi mengelakkan penularan wabak.

Kami berserah kepada Allah, akhirnya membuka jalannya dan kami lulus ujian kesihatan.

3. Bagaimanapun banyak lagi dokumen yang perlu diselesaikan seperti pasport yang telah luput. Dan semua itu perlu dilaksanakan dalam tempoh tidak sampai seminggu. Sedangkan aku sudah kehilangan dua hari kerana tugasan di Langkawi.

Untuk memperbaharui pasport sahaja mengambil masa sehari suntuk kerana ramai yang mahu berbuat demikian kerana sempadan negara baharu dibuka.

Kemuncak kepada semua ialah pemeriksaan PCR, sudahlah ke sana dan ke sini berurusan kena pula lakukan PCR dan jika dikesan positif semuanya hangus termasuk wang yang telah dibayar kepada tabung haji dan syarikat pengendali kerana segalanya sudah dibayar untuk operasi haji.

Sahabat handai, saudar mara yang mengetahui kami dijemput ke tanah suci pastinya mahu bertemu dan mengucapkan selamat jalan.

Namun semua itu tidak dapat dibuat kerana kegusaran wabak yang belum habis.

Selepas melalui pelbagai dugaan, yang dinanti tiba, aku serta isteri dan ribuan jemaah lain melangkah dengan penuh debaran.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar disusun kemas oleh Tabung Haji dan kerajaan Arab Saudi pula memperkenalkan Makkah Route iaitu pegawai imigresennya ditempatkan di KLIA bagi memastikan semua urusan imigresen selesai di Malaysia.

Ibaratnya apabila visa haji sudah dicop imigresen Arab Saudi kami umpama sudah berada di Jeddah.

Setiba di Jeddah kami terus diangkut dengan bas terus ke hotel. Semuanya berjalan lancar.

Beberapa hari di Mekah kami beritahu Tabung Haji menasihatkan kami berniat haji bersyarat jika tertahan pihak berkuasa, maka kami perlu bertahalul. Jika tidak sempat wukuf di Arafah, maka tahun ini tiada haji.

Langkah berjaga itu diambil kerana kebimbangan berlaku letusan jangkitan Covid-19 atau wabak lain.

Syukur kebimbangan itu tidak berlaku dan ketika berita ini aku tulis, aku serta isteri hanya perlu tawaf dan saie haji.

Walaupun dengan banyak dosa, kurang ilmu dan jasad yang lemah, Allah hadirkan pembimbing yang sentiasa membimbing dan rakan-rakan yang sentiasa membantu.

Di sini pergaulan sangat mudah dan akrab semua status di tanah air dicampak ke tepi dan kami dipanggil haji dan hajah sahaja.

Secara peribadi aku kagum dengan ramainya anak muda yang berada bersama kami. Mereka sentiasa bertenaga, berilmu dan mempermudahkan urusan jemaah yang lain.

Aku terasa sangat kerdil dalam jutaan umat Islam di tanah haram ini.

Aku menulis bukan kerana nama, tetapi berharap agar ia memberi inspirasi kepada mereka yang lain. Jangan putus asa walaupun giliran kita di atas kertas adalah 120 tahun lagi. Jika Allah berkehendak tidak ada yang mampu menghalang. Begitu juga sebaliknya.

Mudah-mudahan tulisan yang tidak seberapa ini menjadi asbab untuk kita semua mula berusaha untuk melengkapkan Rukun Islam Kelima ini.

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button