Luar Negara

Terrence, adik mendiang George Floyd gesa protes aman

ADIK mendiang George Floyd, Terrence menggesa protes oleh penunjuk perasaan dijalankan secara aman.

Kenyataan berkenaan dibuatnya ketika upacara memperingati mendiang abangnya yang diadakan di New York, baru-baru ini.

Upacara berkenaan turut dihadiri aktivis hak asasi manusia, Al Sharpton.

Ia adalah upacara mengenang mendiang Floyd yang pertama daripada enam yang dirancang di tiga bandar utama.

Floyd meninggal dunia pada 25 Mei lalu selepas anggota polis, Derek Chauvin, menekan lehernya dengan lutut selama beberapa minit ketika ditahan.

Di New York, pengguna media sosial merakam video yang menunjukkan polis secara sengaja memukul seorang penunggang basikal.

Polis dilaporkan menggunakan cota untuk memukul penunggang basikal berkenaan ketika dia berada di persimpangan jalan.

Dalam masa yang sama, polis di New York mengarahkan orang ramai untuk mengosongkan kawasan di sekitar bandar itu dan mematuhi perintah berkurung yang dilakukan di bandar berkenaan.

Menurut laporan The Associated Press, polis turut menggunakan cota dan penyembur lada untuk mengarahkan orang ramai pulang ke rumah dengan lebih pantas.

Menurut polis New York, tiada lagi kompromi diberikan kepada mereka yang enggan pulang ke rumah dan mematuhi arahan tidak keluar rumah di bandar itu.

Sementara itu, satu video menunjukkan polis menekan leher seorang lelaki kulit hitam di Sarasota, Florida, diedarkan.

Video berkenaan dilaporkan dirakam seminggu sebelum kematian Floyd di Minneapolis.

Ia dirakam orang ramai yang menyaksikan penahanan Patrick Carroll yang disyaki terlibat dalam keganasan rumah tangga.

Pihak polis dilaporkan menyiasat insiden tersebut.

Sementara itu, penunjuk perasaan turut merakam video yang menunjukkan polis menyembur mereka dengan gas pemedih mata selepas mengepung kumpulan berkenaan.

Insiden berlaku di North Carolina dan polis mengeluarkan kenyataan akan menyiasat insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Senat dari parti Demokrat bertafakur selama 8 minit 46 saat untuk mengenang mendiang Floyd.

Ia merupakan durasi Floyd ditekan lehernya oleh anggota polis berkenaan sebelum Floyd meninggal dunia. – ASTRO AWANI

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button