Jenayahpilihan

Saya terkilan tak dapat selamatkan mangsa – jiran

“Saya terkilan tak dapat selamatkan mangsa walaupun berjaya menepis tangan abangnya ketika masih mencekik leher adiknya,” demikian ujar seorang jiran, Qhurun Ain Johari, 31.

Dia menjadi saksi utama dalam kejadian seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik abang kandungnya berusia 14 tahun di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, Melaka di sini hari ini (Rabu).

Menurut Qhurun Ain, dia dihubungi ibu dua beradik itu meminta tolong selepas melihat anak sulungnya mencekik adiknya menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dilihat menerusi telefon bimbit kira-kira pukul 12.00 tengahari.

Katanya, sejurus memasuki rumah jirannya dia terkejut serta menjerit apabila ternampak abangnya sedang mencekik leher adiknya.

“Saya lihat muka adiknya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu pucat dan sudah tidak bernyawa,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ketika kejadian, abang mangsa juga seakan-akan tidak menyedari perbuatannya sehingga dia terpaksa menepis kuat genggaman tangan remaja berkenaan.

“Saya tak sangka kejadian ini berlaku di depan mata kerana abangnya sebelum ini memang seorang budak yang baik,” katanya.

Qhurun Ain menambah dia mendapat tahu abang mangsa mengalami trauma kerana pernah bercerita menjadi mangsa buli di sekolah selain pernah meracau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan. – SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button