Nasional

Terkunci dalam kontena: Kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui di Pelabuhan Barat

SEORANG kanak-kanak lelaki warga asing ditemukan dalam sebuah kontena di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada Selasa lalu. Kanak-kanak itu dipercayai terkunci selama enam hari di dalam kontena tersebut, berasal dari Chittagong, Bangladesh.

Ketua Polis Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong

Ketua Polis Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan yang bekerja di bahagian operasi perkapalan yang mendakwa menemui seorang kanak-kanak berkenaan sekitar pukul 9 malam.

“Semasa menguruskan kapal masuk di dermaga Pelabuhan Barat serta pemeriksaan sebuah kontena kosong, lelaki itu mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor dan disahkan dalam keadaan stabil.

Menurut beliau, semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri dan laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut.

“Siasatan yang dijalankan mendapati sebuah kapal MV. Integra telah bertolak dari Chittagong pada 12 Januari lalu dengan membawa kontena yang mengandungi muatan barangan am dan tiba di Pelabuhan Barat pada Selasa lalu,” ujarnya.

Hoong Fong berkata, berdasarkan keterangan daripada kanak-kanak itu, dia menjelaskan semasa bermain bersama kawan di Chittagong, dia telah masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga ditemui oleh pihak pengadu di Pelabuhan Barat.

“Tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku di dalam kejadian ini dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai rujuk lain agensi (RLA) iaitu dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk menguruskan dokumen mangsa serta penghantaran pulang dengan menggunakan kapal kargo yang sama,” katanya.

Video berdurasi satu minit mengenai penemuan kanak-kanak itu turut tular malam tadi di media sosial. – SM

 

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button