Nasionalpilihan

Pelaksanaan PPN tunjuk perkembangan positif

PELAKSANAAN Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal bulan ini telah menunjukkan perkembangan positif dengan beberapa negeri mula beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis dan terbaharu ialah Pulau Pinang telah mencapai ketiga-tiga nilai ambang dan kini mampu beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2.

“Berdasarkan perkembangan semasa, beberapa negeri lain juga dijangka akan beralih ke Fasa 2 tidak lama lagi.

“Kerajaan telah memutuskan supaya Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditambah baik dengan membenarkan peralihan fasa mengikut negeri sebagai langkah memberi autonomi, insentif dan harapan kepada setiap negeri untuk beralih keluar daripada Fasa 1 ke fasa-fasa seterusnya.

“Pendekatan ini difikirkan lebih adil, kerana membolehkan peralihan lebih awal bagi negeri-negeri yang berjaya menurunkan penularan kes COVID-19, mencapai kapasiti ICU yang selamat, serta mencatat nilai ambang penduduk dewasa yang divaksinasi, iaitu tiga nilai ambang nasional yang menjadi syarat peralihan fasa ke fasa yang telah diumumkan Perdana Menteri pada 15 Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan LAKSANA ke-60 yang disiarkan menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Zafrul turut memberitahu sebanyak 300,000 isu rumah miskin di bandar-bandar utama akan mendapat manfaat menerusi Program Prihatin Kasih.

Jelasnya, menerusi program itu, setiap penerima bagi akan menerima bantuan bulanan bernilai RM100 selama tiga bulan.

“Bantuan PRIHATIN Kasih yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Hasanah ini bertujuan mempermudahkan lagi proses penerimaan bantuan untuk penerima-penerima yang dikenalpasti melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, sistem e-Kasih serta Bantuan Prihatin Rakyat berdasarkan data berkenaan isi rumah miskin bandar.

“Fasa Pertama Prihatin Kasih telah pun bermula pada 1 Julai lalu di Selangor dan Kuala Lumpur antaranya kawasan-kawasan yang terkesan daripada PKPD, dan fasa selanjutnya akan dilancarkan di semua negeri sehingga bulan Oktober depan.

“Proses bantuan adalah mudah; penerima hanya perlu menggunakan MyKad mereka untuk membuat bayaran bagi barangan makanan asas di lebih daripada 300 rantaian kedai dan pasar raya di seluruh negara,” katanya. -SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button