NegeriRencah Hidup

Putu mayang hak eksklusif orang Kuala Perlis!

SEDAP tetapi susah nak cari. Kalau sebut putu mayang, sekian lama resipi makanan tradisional ini dikenali sebagai “hak eksklusif” orang Kuala Perlis kerana ia diwarisi secara turun-temurun. Jangan marah naaaaa kalau bukan orang Kuala Perlis.

Putu mayang kalau di kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur, dijual oleh mamak atas motor dan ditabur kelapa dan gula merah di atasnya. Lain ya.

PUTIH gebu dengan pintalan yang tersusun serta tekstur putu mayang yang halus dihasilkan oleh Mariam Mansor.

Tetapi di Kuala Perlis, lain pula cara hidangannya. Putu mayang ini mempunyai kuah yang sama seperti laksa beras cuma isinya sahaja yang berbeza iaitu halus seperti bihun berbentuk bulat. Rasanya, tidak manis tetapi macam makan laksa.

Dikatakan setiap wanita Kuala Perlis mesti pandai membuat putu mayang ini.

Selain itu, putu mayang juga hanya dijual di perkampungan nelayan Kuala Perlis dengan peniaga yang sangat sedikit jumlahnya.

Atas sebab itu, ia kurang dikenali oleh orang Perlis sendiri. Apa tah lagi orang luar sedangkan makanan ini sama sedap dengan laksa. Permintaannya juga tinggi.

SEPERIUK penuh kuah putu mayang yang nampak sama seperti kuah laksa.

Dari segi kedudukan makanan tradisi atau ranking, tidak keterlaluan jika dikatakan putu mayang ini sebenarnya berada di tangga teratas sebagai makanan paling digemari oleh penduduk Kuala Perlis.

Kelaziman anak jati Kuala Perlis, celik mata sahaja, mesti cari putu mayang sebagai sarapan dan boleh dikatakan tidak ada istilah jemu atau muak makan putu mayang kerana makanan ini boleh dimakan tanpa mengira waktu.

Rata-rata kedai menjual putu mayang ini dibuka dari awal pagi dan biasanya putu mayang yang dijual itu akan laris dan habis sebelum waktu tengah hari.

KERJA membungkus putu mayang yang dilakukan oleh Mariam (kiri) menjadi ringan apabila dibantu oleh anaknya, Nuur Fatin yang turut membungkus putu mayang sebelum dijual.

Salah seorang peniaga putu mayang, Mariam Mansor, 55, yang berniaga di gerai Dataran Semarak, Seberang Ramai Kuala Perlis ketika ditemui wartawan SUARA MERDEKA, mengakui jualan putu mayangnya memang laris.

“Setiap hari saya menggunakan enam kilo tepung beras untuk membuat putu mayang,” katanya yang turut dibantu persiapan membuat putu mayang oleh anaknya, Nuur Fatin Mahazir, 30.

PENGGUNAAN mesin mempercepatkan lagi kerja-kerja menghasilkan isi putu mayang.

Untuk makluman, gerai Laksa Tradisi Kuala Perlis milik Mariam menjual lapan biji putu mayang dan kuah pada harga RM2 dan sekilo putu mayang beserta kuah, dijual pada harga RM15 sahaja.

Marian berkata, beliau mengaku ada masanya tidak menang tangan kerana permintaan yang tinggi daripada para pelanggan yang rata-rata, tinggal di sekitar kawasan perkampungan nelayan itu.

Isi putu mayang dikukus sebelum boleh dimakan.

Beliau berkata, untuk memudahkan kerja-kerja membuat putu mayang, beliau membeli mesin khas untuk putu mayang.

“Sejak saya beli mesin membuat putu mayang ini yang berharga RM2,500 tahun lalu, kerja membuat putu mayam menjadi lebih mudah dan cepat.

“Kalau sebelum ini guna kebok iaitu alat khas untuk membuat putu mayang yang bukan sahaja membuatkan tangan mudah sakit tetapi penghasilannya juga terhad,” katanya.

Putu Mayang orang Kuala Perlis seperti dinyatakan awal-awal penulisan, disertai dengan kuah dan resipi utama kuah putu mayang ialah ikan.

“Untuk kuah putu mayang, saya gunakan pelbagai jenis ikan. Memang rasanya enak dan menepati selera serta citarasa penggemar putu mayang berkuah,” ujarnya.

Beliau berkata, putu mayang berkuah ini lebih sedap dimakan jika diletak spera (kulit macam karipap dengan inti seperti cucur badak) dan beginilah cara orang Kuala Perlis menikmati putu mayang. – SM

(Visited 1,086 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button