Politik

Terima keputusan rakyat dengan hati terbuka – Ismail Sabri

Semua pihak diminta tidak mencetuskan sebarang provokasi dan kekecohan berhubung keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaliknya harus menerimanya dengan hati terbuka kerana itu adalah pilihan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menang atau kalah dalam mana-manapilihan raya itu adalah adat pertandingan dan harus diraikan dengan matang serta berhemah.

“Saya harap esok pada hari mengundi dapat berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa sebarang provokasi di seluruh negara.

“Saya juga berharap malam esok apabila menerima keputusan, semua kita boleh menerima keputusan yang diumumkan dengan semangat yang tinggi tanpa menimbulkan kekecohan di mana-mana sekali pun.

“Kita terimalah pilihan rakyat dengan dengan hati terbuka, menang atau kalah adat pertandingan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra bersama penduduk Bandar 32, Bera, di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum kali ini, lebih 21 juta pengundi termasuk pengundi baharu yang berusia 18 tahun ke atas mengundi, esok.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berharap insiden provokasi tidak berulang selepas PRU15 sepertimana perarakan baju hitam dan tuduhan 30,000 pengundi warga Bangladesh sebagai pengundi hantu.

“Tuduhan itu sebenarnya tidak berlaku pun, jadi ia tidak baik untuk negara dan perlu dielakkan pada PRU15 ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang merupakan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Bera bersyukur kerana sepanjang tempoh dua minggu kempen berjalan dengan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Situasi itu, katanya, membuktikan kematangan berpolitik rakyat negara ini.

“Alhamdulillah selepas dua minggu berkempen saya lihat kempen berjalan dengan lancar di seluruh negara dan tidak ada kejadian tidak diingini sekali gus membuktikan kematangan rakyat Malaysia berpolitik,” katanya. – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button