NasionalPolitik

Terima kenyataan, hadapi realiti rakyat tolak BN, UMNO

NAIB Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, sudah tiba masanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima kenyataan penolakan rakyat dan pengundi terhadap parti.

Buktinya jelas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November baru-baru ini bahawa rakyat tidak percaya lagi kepada UMNO dan BN dan parti perlu membersihkan imej dan integriti.

Memetik laporan Utusan, Shahril berkata, kepemimpinan termasuk dirinya perlu mengaku dan memohon maaf kepada seluruh penyokong bahawa mereka tidak berjaya untuk membendung gelombang yang membawa kepada prestasi amat teruk dalam sejarah UMNO dan BN.

“Keputusan parti untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengubah kenyataan atau realiti bahawa BN hanya menang 30 kerusi dan UMNO khususnya di Semenanjung hanya memperoleh 20 kerusi.

“Salah satu perkara yang perlu dilihat adalah imej parti yang tidak berintegriti dan ini kita kena semak, lihat dan pastikan dalam masa lima tahun akan datang atau penggal ini, ada satu kemampuan dan kemahuan untuk bukan hanya ubah kaedah kempen berpolitik tetapi membersihkan imej parti,” katanya.

Beliau berkata, membersihkan imej parti bukan semata-mata dalam media sosial.

“Kita bercakap bukan semata-mata ayat kita atau hujah kita tetapi siapakah perwatakan yang kita bawa dalam parti ini untuk masa depan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai Bersama Naib Ketua Pemuda, hari ini.

Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO yang meletak jawatan tersebut baru-baru ini berkata, parti sudah berhadapan dengan tsunami politik dan tidak boleh menunggu sehingga terpaksa berhadapan dengan ‘asteroid’ yang memungkinkan parti itu akan pupus.

Menurut beliau, politik khidmat sahaja tidak lagi menjaminkan kemenangan kepada calon atau pemimpin UMNO yang bertanding kali ini kerana mereka turut terpalit dengan imej parti di peringkat nasional.

“Imej parti di peringkat nasional memainkan peranan di seluruh negara. Tak banyak kawasan yang terasing dengan gelombang nasional.

“Anda bagus macam mana pun di kawasan, anda beri khidmat macam mana pun lima tahun ini tetapi kalau imej di peringkat nasional tidak baik, akan terkesan juga kepada calon-calon dan kepemimpinan di peringkat bahagian.

“Ini realiti yang kita kena cakap, kita kena ambil tanggungjawab bersama. Sebab itu walaupun pendirian saya sebelum ini sudah jelas selepas kita tewas, saya sendiri ambil tanggungjawab letak jawatan.

“Saya nampak ini bukan salah mana-mana individu tapi kepemimpinan secara keseluruhan,” tegas beliau.

 

Ditanya sama ada keputusan PRU15 Sabtu lalu akan memberi kesan kepada pengundian di Parlimen Padang Serai, Shahril mengakui sukar untuk membaca sentimen pengundi pada ketika ini.

“Dengan keputusan pilihan raya, Perdana Menteri yang baharu dilantik, susah untuk kita baca apakah sentimen dan kemahuan pengundi Padang Serai.

“Jadi, bagi saya, kita masuk mana-mana pilihan raya untuk menang dan saya yakin jentera tempatan serta calon akan berusaha sehabis baik tetapi yang paling utama selain keputusan 7 Disember nanti adalah cara pembawakan kita.

“Apakah di Padang Serai ini boleh memberikan contoh baharu bagaimana kita menerima keputusan pilihan raya dan adakah kita mampu berkempen dengan hujah-hujah dan kaedah yang ambil maklum kepada realiti PRU15,” katanya. – SM

(Visited 329 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button