Nasional

Terima Kasih Wanita Atas Segala Sumbangan & Pengorbanan Demi Negara – Muhyiddin Yassin

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih dan Selamat Hari Wanita Sedunia kepada semua wanita atas segala sumbangan serta pengorbanan dalam membangunkan negara.

Menurutnya, kemajuan wanita di negara ini, bahkan di dunia dalam semua bidang amat membanggakan, meskipun suatu ketika dahulu pernah dilihat peranannya sebagai pengurus rumah tangga, melahir dan mendidik anak-anak semata-mata.

“Namun wanita hari ini telah maju ke hadapan dan berperanan sebagai pendukung dan penggerak kepada kemajuan negara tanpa melupakan peranan tradisi mereka sebagai isteri dan ibu.

“Sememangnya, wanita di negara ini telah dan akan terus diberikan ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk mengambil bahagian dalam semua bidang.

“Saya pasti lebih banyak yang boleh kita lakukan bagi memperkasa kedudukan wanita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik di Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran dimuatnaik sempena Hari Wanita Sedunia dalam laman Facebooknya, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, perjuangan memartabatkan wanita merupakan tanggungjawab pemimpin di setiap peringkat, malah Kerajaan Perikatqm Nasional pimpinannya sentiasa mengiktiraf peranan kumpulan tersebut.

“Saya sering menekankan tentang betapa pentingnya untuk memastikan kedudukan dan sumbangan wanita menjadi pertimbangan penting dalam merangka hala tuju pembangunan negara yang lebih seimbang dan holistik.

“Sememangnya, Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa mengiktiraf peranan penting wanita sebagai penggerak utama kemajuan negara, institusi keluarga dan pengukuhan masyarakat penyayang,” katanya.

Beliau turut yakin dan percaya, wanita memainkan peranan yang amat besar dalam usaha memulihkan negara dari pandemik COVID-19.

“Baik dari segi sektor ekonomi, mahupun sektor sosial, penglibatan wanita di setiap peringkat pemulihan amat diperlukan dan dihargai. Saya pasti, negara tidak akan pulih sepenuhnya tanpa usaha keras kaum wanita di seluruh negara.

“Tambahan lagi, jika kaum wanita tidak bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha-usaha pembangunan dan pemulihan negara, bermakna kita mengabaikan satu sumber tenaga yang penting bagi membawa negara ke mercu kejayaan,” katanya.

(Visited 489 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button