Nasional

Terima bantuan gereja: Pengadu, NGO diminta beri kerjasama

PENGADU dan organisasi bukan kerajaan (NGO), Kramat diminta memberi kerjasama kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membuat semakan.

Permintaan itu dibuat selepas tiga ibu tunggal mendakwa menerima bantuan daripada gereja selepas pusat zakat dikatakan enggan membantu mereka.

Bagaimanapun, MAIWP memberitahu sudahpun menghubungi Kramat bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai ibu tunggal terbabit.

Namun Kramat dan ibu-ibu tunggal itu pula didakwa enggan memberi kerjasama kepada MAIWP untuk membuat semakan.

Semakan dibuat bagi mengenal pasti permohonan bantuan dibuat dan sebab penolakan oleh pusat zakat.


“Malangnya selepas tular video mereka, kita cuba hubungi Kramat namun mereka tidak mahu beri kerjasama dengan kami serta tidak ingin berkongsi maklumat tiga ibu tunggal itu apatah lagi mahu bertemu dengan kami.”

Kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya, kepada MalaysiaGazette mengulas sidang akhbar diadakan oleh Kramat bersama tiga individu yang tidak mendedahkan identiti diri mereka.

Tadi, Suara Merdeka melaporkan tiga ibu tunggal yang salah seorang mahu dikenali sebagai Khaty dan dua lagi sebagai Amy, mendakwa menerima bantuan daripada gereja.

BACA: Bantuan gereja datang ‘sepantas kilat’ banding zakat – ibu tunggal

Dakwa mereka, bantuan daripada gereja diterima selepas permohonan kepada pusat zakat tidak dipeduli sejak sembilan tahun lalu.

Namun, Mohd. Nizam tidak menafikan wujud keraguan terhadap dakwaan yang dibuat oleh tiga ibu tunggal berkenaan kerana identitinya tidak didedahkan.

Malah, beliau juga tidak menolak dakwaan sedemikian kemungkinan mahu memburukkan institusi agama Islam.

“Kita tidak dapat sahkan identiti mereka sebab menggunakan nama samaran ‘Khaty’ jadi kita tidak boleh rujuk mahupun menyemak dalam sistem bantuan kami.

“Walaupun dia kata telah pindah ke Selangor dan pernah mendapat bantuan Baitulmal sebelum ini.

“Manakala dua individu lagi, sebagaimana tertera di dalam video tersebut sebagai ‘Lina’ dan ‘Amy’ turut menggunakan nama samaran dan tidak menyatakan tempat tinggal mereka.

“Mereka juga mengaku tidak pernah hadir di mana-mana pejabat zakat sebaliknya bertemu dengan individu yang dikatakan menguruskan zakat.

“Saya lihat sebenarnya isu seperti ini sering bangkit pada bulan Ramadan untuk mengalihkan perhatian orang ramai agar tidak membayar zakat kepada institusi zakat atau badan berautoriti untuk kutip zakat di sesebuah negeri.

“Walau bagaimanapun, saya ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa MAIWP sentiasa peka dan prihatin membantu golongan yang memerlukan.

“Lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik yang kita sendiri dapat rasakan ekonomi sekarang tidak menentu,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, isu ini diharapkan dapat diatasi dengan segera dan berhemah dan ibu tunggal berkenaan perlu dibantu menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri. – SM

(Visited 260 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button