Politik

Teresa Kok hantar surat kepada SPR bantah Jamal Yunos jadi calon Sungai Besar

STATUS Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos dipertikaikan kerana beliau masih belum menyelesaikan syarat penghakiman dalam saman yang difailkan terhadapnya yang mungkin menyebabkan beliau diisytiharkan muflis.

Sehubungan itu, apabila Barisan Nasional (BN) mencalonkan nama Jamal untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membantah.

Bantahan itu dipanjangkan menerusi surat yang dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mana Jamal Yunos sebagai calon Parlimen Sungai Besar.

Pada 26 Julai, Mahkamah Tinggi memutuskan Jamal bertanggungjawab memfitnah Kok pada tahun 2017 dengan menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas (SMUE) milik kerajaan negeri.

Mahkamah mengarahkan Jamal membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 dan RM50,000 sebagai kos.

Pada 18 September lalu, Kok dilaporkan memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal selepas beliau gagal menjelaskan jumlah wang itu.

“Sehingga hari ini, Datuk Seri Jamal Md Yunos masih belum menyelesaikan penghakiman tersebut dan prosiding kebankrapan saya terhadap beliau masih berlangsung.

“Ada kemungkinan beliau akan dihukum muflis akibat prosiding kebankrapan tersebut.

“Saya telah menghantar surat bantahan kepada Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh mengenai perkara itu,” kata Kok yang akan bertanding semula di Seputeh pada PRU15 seperti dilaporkan FMT hari ini.

Bagaimanapun, maklumat di laman sesawang SPR menyatakan seseorang individu hilang kelayakan untuk menjadi calon dalam pilihan raya negeri atau Parlimen jika belum dilepaskan sebagai muflis.

Diminta mengulas mengenai surat Kok kepada SPR, Thomas Fann, Pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya Bersih berkata, SPR tidak boleh secara sah menolak Jamal sebagai calon PRU15 kerana beliau belum diisytiharkan muflis.

“Bagaimanapun, jika beliau memenangi kerusi di Sungai Besar dan prosiding kebankrapan telah dimuktamadkan, beliau perlu mengosongkan kerusinya dan pilihan raya kecil diadakan,” katanya.

Dari segi politik, UMNO mungkin mahu mempertimbangkan semula calon sedemikian yang mungkin hilang kelayakan tidak lama selepas pilihan raya dan isu yang akan dieksploitasi oleh calon lain di Sungai Besar.

Fann turut menegaskan bahawa Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen jika pengisytiharan bankrap belum dilepaskan. – SM

 

(Visited 461 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button