NegeriRencah Hidup

30 asnaf terima sumbangan Sentuhan Kasih Ramadan FAMA

Mohd Anzara (dua dari kiri) bersama Norazlan (kiri sekali) melakukan pelepasan Konvoi Sentuhan Kasih Ramadan di Bazar Ramadan FAMA UniMAP Pauh Putra di Ulu Pauh.

SEBANYAK 30 asnaf dari kariah Masjid Ali Imran, Ulu Pauh dipilih sebagai penerima sumbangan bagi program Sentuhan Kasih Ramadan.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini adalah anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis

Ia juga mendapat kerjasama dari rakan strategik iaitu Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan juga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kit barangan Sentuhan Kasih Ramadan untuk diedarkan kepada asnaf di Ulu Pauh. – Gambar Ihsan FAMA Perlis

Sempena pelancaran program ini diadakan upacara pelepasan konvoi Sentuhan Kasih Ramadan oleh Pengarah FAMA, Mohd Anzara Azizan di Bazar Ramadan FAMA UniMAP Pauh Putra di Ulu Pauh.

Hadir sama Yang Dipertua MPK, Nor Azlan Yahaya dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Alumni, Prof Dr Mustafa Al Bakri Abdullah.

MOHD ANZARA AZIZAN

Mohd Anzara berkata, konvoi berkenaan akan mengedarkan kotak makanan dan barangan keperluan asas kepada asnaf berkenaan.

“Kotak makanan ini adalah hasil sumbangan daripada usahawan Bazar Ramadan FAMA UniMAP, FAMA, MPK dan UniMAP,” katanya.

Beliau berkata, dengan program CSR ini diharap boleh berkongsi kegembiraan bersama dengan golongan yang memerlukan.

Selain itu, katanya, dengan sumbangan ini diharap dapat meringankan beban menyambut Ramadan bersama keluarga masing-masing.

Mohd Anzara berkata, sebanyak 30 usahawan yang terlibat dalam Bazar Ramadan FAMA UniMAP Ulu Pauh.

Katanya, manakala Bazar Ramadan FAMA di Pasar Tani Kekal di Simpang Empat melibatkan 70 usahawan dan di Dataran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kangar pula 28 usahawan. – SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button