Ekonomi

FGV Dairy Farm sasar pengeluaran 30,000 susu segar setiap hari pada suku pertama 2021

FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya FGV Dairy Farm Sdn Bhd (FGVDF) berada pada kedudukan baik untuk mengeluarkan 30,000 liter susu segar setiap hari pada suku pertama 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata ia selari dengan kejayaan pelaksanaan projek ladang tenusu bersepadu di Linggi, Negeri Sembilan, yang secara signifikan telah meningkatkan fokus FGV dalam perniagaan di bawah sektor pertanian bersepadu.

“Kami juga telah memasang ruang memerah susu automatik dan sistem rakaman susu harian ‘cloud-based’ untuk memastikan kualiti produk tenusu dan produktiviti ladang tenusu kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerja menaik taraf secara keseluruhan untuk ladang tenusu FGV Linggi hampir selesai dengan penambahbaikan pada infrastruktur ladang, kawasan makanan ternakan, tempat memerah susu dan bangsal lembu, sementara kerja-kerja menaik taraf bangsal anak lembu telah selesai 100 peratus.

Selain itu, menurutnya, beberapa formulasi, perisa dan pembungkusan baharu produk Bright Cow berada dalam proses, dan kini menjalani ujian produk dan ujian kestabilan sebelum dilancarkan pada April 2021 seperti yang disasarkan.

Baru-baru ini, FGVDF menerima penambahan sebanyak 130 lembu tenusu kacukan yang diimport dari Australia, yang merupakan kacukan baka lembu tenusu Jersey dan Friesian, menjadikan jumlah kawanan lembu tenusu berjumlah 258 ekor.

“Penghantaran lembu ini adalah untuk memenuhi jumlah pengeluaran susu segar yang lebih tinggi serta peningkatan permintaan tempatan terutamanya oleh pasaran segmen HORECA (Hotel, Restoran dan Kafe),” katanya.

Menurut Haris Fadzilah, dalam tempoh kurang sembilan bulan sejak penubuhan projek ladang tenusu pada Mac 2020, jenama premium Bright Cow telah memproses lebih 500,000 liter susu segar untuk penggunaan tempatan, disumbangkan oleh susu segar yang dihasilkan di ladang tenusu Linggi milik FGV dan turut dibekalkan ladang tenusu luar.

“Pada masa yang sama, inisiatif FGV adalah selari dengan visi kerajaan untuk kemakmuran bersama dengan menawarkan peluang kepada pertanian kontrak dalam kalangan penternak lembu di negara ini,” katanya.

Di bawah Program Pembangunan Industri Tenusu Negara, kerajaan meletakkan sasaran untuk memastikan kadar sara diri dalam pengeluaran susu segar domestik menjelang 2025 yang memberi peluang kepada organisasi seperti FGV untuk mendapat manfaat daripada penggantian import dan menjadi pemain industri yang signifikan bagi pengeluaran susu segar tempatan. – BERNAMA
(Visited 426 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button