
Tengku Zafrul perlu lepaskan jawatan menteri selepas keluar UMNO
DATUK Seri Tengku Zafrul perlu melepaskan jawatan daripada Kabinet apabila beliau membuat keputusan keluar dari UMNO dan menyertai PKR.
Pengarah Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, tindakan Tengku Zafrul itu boleh dianggap sebagai lompat parti kerana kedudukan beliau dalam Kabinet adalah atas kapasiti UMNO
Katanya, jelas dari sudut moral politik beliau telah keluar daripada Umno, iaitu parti yang mencadangkannya untuk dilantik sebagai senator dan menteri.
“Maka keluarnya daripada Umno bermaksud, beliau sudah tidak mewakili Umno di dalam kerajaan minoriti Perpaduan tersebut,” ujar pengamal undang-undang itu,” katanya.
Yusfarizal mengulas isu-isu semasa berkaitan kedudukan menteri kabinet, antaranya Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, tindakan mendesak Rafizi untuk meletak jawatan hanya kerana hilang jawatan dalam parti tidak tepat kerana pelantikan menteri dibuat atas syor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Saya boleh bersetuju sekiranya beliau mengambil keputusan meletak jawatan atas dasar sedar diri, namun untuk menyatakan beliau sudah tidak ada mandat, saya merasakan agak pelik. Tambahan pula, beliau masih ahli PKR,” katanya.
Kes Rafizi Ramli katanya, ialah kes ‘sedar diri’ kerana sudah tidak berjawatan tinggi dalam parti walaupun pelik dari segi konsep mandat menteri, sementara kes Tengku Zafrul adalah kes ‘lompat parti’ walaupun beliau hanyalah senator lantikan.
“Ia perlu dibezakan. Adalah sedikit janggal untuk PMX menyatakan kedudukan menteri Tengku Zafrul tidak terjejas kerana ia adalah satu tindakan ‘lompat parti’. Yang lebih pelik ialah lompatan itu adalah kepada parti gabungan dalam kerajaan minoriti,” katanya.
Yusfarizal turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan kedudukan Tengku Zafrul tidak terjejas, sedangkan tindakan berpindah parti, walaupun ke parti komponen kerajaan sendiri, tetap memberi implikasi kepada keabsahan moral pelantikan tersebut.
Justeru, beliau menegaskan bahawa apa-apa prinsip dari sistem Westminster yang tidak diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan harus diketepikan jika ia bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara.
Terdahulu, Tengku Zafrul keluar Umno dan menyertai PKR akan memberi kesan simbolik dan politik yang besar, khususnya kepada dinamika dalaman kerajaan campuran terutama dalam beberapa aspek.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pengumuman itu sebaliknya sudah dijangka susulan beberapa ramalan dan desas-desus yang tular sebelum ini.
“Ditambah lagi, apabila dua kekosongan kerusi Menteri yang bakal ditinggalkan oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad (terdahulu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) memberikan ruang yang lebih luas kepada Tengku Zafrul untuk mengisi kekosongan tersebut, khususnya Menteri Ekonomi.
“Sebagai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua Bahagian Umno, ‘pengorbanan’ yang dibuat oleh Tengku Zafrul sudah semestinya sesuatu yang perlu digantikan dengan kedudukan yang lebih bermakna,” katanya. – SM