Nasionalpilihan

Tengku Zafrul dilantik Menteri Penyelaras PPN, pantau pelaksanaan strategi dan bantuan

MENTERI KEWANGAN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau akan bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi, bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat dinamik.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat menerusi mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang diadakan secara sidang video dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Mesyuarat tersebut bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial (subject matter experts) bagi mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan, strategi pengurusan pesakit di hospital dan juga strategi pemberian vaksin kepada populasi di Malaysia.

“Penglibatan kumpulan profesional, terutamanya pakar-pakar kesihatan awam dan ekonomi, dalam pengurusan pandemik COVID-19 di dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul,” katanya.

Selain Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, mesuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri; Menteri Kanan Luar Negeri; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Kanan Pendidikan; Menteri Sains dan Teknologi dan Menteri Kesihatan.

Turut sama hadir ialah Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Kesihatan.

Terdahulu, JKKPPN ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut COVID-19 secara berfasa dan sistematik, mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19.

“Justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan PPN akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif.

“Bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan telah dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha-usaha Kementerian serta Agensi yang terlibat
secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN,” katanya. -SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button