Ekonomi

Tenaga solar kos rendah kini terkebelakang

FAKTOR utama yang menjadikan tenaga solar sebagai sumber tenaga yang paling cepat berkembang di dunia – kosnya turun dengan pantas – kini kembali melambung tinggi.

Harga panel solar telah meningkat 18 peratus sejak awal tahun ini setelah ia jatuh sebanyak 90 peratus pada dekad sebelumnya. Kenaikan ini didorong oleh kenaikan empat kali ganda kos bahan mentah polisilikon, yang bakal melambatkan projek dan memperlambatkan penggunaan tenaga solar ketika beberapa kerajaan utama telah menyatakan pendirian mereka dalam usaha menangani perubahan iklim.

“Gangguan terhadap tenaga solar tidak pernah seburuk ini dalam tempoh sedekad.

“Pemaju dan kerajaan perlu berhenti mengharapkan solar akan menjadi lebih murah dengan cepat,” kata penganalisis solar dengan kumpulan penyelidikan tenaga bersih BloombergNEF (BNEF), Jenny Chase.

BNEF telah menurunkan sedikit ramalannya untuk solar tahun ini dalam laporan minggu lalu dengan menyatakan peningkatan harga bahan termasuk polisilikon sebagai salah satu sebab.


Harga yang tinggi menjejaskan permintaan dan akan melewatkan beberapa projek berskala besar, demikian menurut pengeluar panel solar, Canadian Solar Inc.

Laporan Mint memetik pemaju yang tidak mahu dikenali menyatakan, di India kira-kira 10 gigawatt projek mungkin terjejas bersamaan dengan lebih satu perempat daripada kapasiti negara itu.

Projek berskala besar di Amerika Syarikat juga ditunda, kata penganalisis di Cowen & Co.

Projek yang telah menandatangani perjanjian harga dengan syarikat utiliti yang membeli tenaga itu mungkin akan terlewat kecuali pelanggan sanggup membayar kadar yang tinggi untuk elektrik, menurut penganalisis di Wood Mackenzie Ltd. Xiojing Sun.

Untuk industri solar, situasi tidak mungkin lebih teruk. Tenaga yang diperbaharui kini sudah mempunyai juaranya di Rumah Putih dan sasaran untuk perubahan iklim sudah diumum merentasi Eropah dan Asia.

Punca utama krisis ini ialah polisilikon, iaitu satu bentuk silikon yang ultra halus, salah satu bahan yang paling banyak di muka bumi ini yang biasanya terdapat pada pasir pantai. Ketika tenaga solar telah bersedia untuk lonjakan permintaan terhadap panel, pembuat polisilikon ini tidak mampu  memenuhinya.

Harga metalloid yang telah dimurnikan mencecah AS$25.88 (RM107.14) untuk setiap kg, daripada AS$6.19 (RM25.63) kurang daripada setahun lalu, menurut PVInsights.

Harga polisilikon dijangka kekal kukuh hingga ke hujung 2022, demikian menurut Philip Shen, analis dari Roth Capital Partners.

Dan masalah itu tidak terhad kepada polisilikon sahaja. Indusri solar berhadapan dengan cabaran rantaian kos bekalan, kata pengeluar panel solar, Maxeon Solar Technologies Ltd pada April.

Panel solar diperbuat daripada pasir yang dipanaskan dan dimurnikan kepada jongkong polisilikon ultra-konduktif yang dihiris menjadi wafer nipis, kemudian disambungkan ke sel dan kemudian dipasang pada panel yang dipasang pada bumbung atau dijadikan ladang solar.

Harga besi, aluminium dan tembaga juga meningkat, begitu juga dengan kos pengangkutan. Pembekal solar-microinverter, Enphase Energy Inc berkata, mereka menjangka penghantaran dalam jumlah yang besar terjejas disebabkan komponen semiconductor sukar diperolehi.

“Polisilikon hiliran sangat menyakitkan, ” kata Naib Presiden Canadian Solar , Xiong Haibo dalam satu persidangan di China.

“Pada masa ini, tidak ada satu syarikat hiliran yang mencatat keuntungan dan semua mereka mengurangkan pengeluaran,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vena Energy Pte Ltd, Nitin Apte, kelompongan dalam trend penurunan kos jangka panjang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan berterusan dalam kecekapan panel solar.

Vena Energy adalah pemain utama dalam tenaga diperbaharui di Asia-Pasific. Syarikat tidak menjangka sebarang kelewatan pada tahun ini untuk projek solarnya di  Jepun, Taiwan, Australia dan India.

“Saya melihat ini sebagai situasi jangka pendek dan beberapa projek mungkin akan mengambil sedikit masa. Kami telah memeterai pesanan pada harga yang terbaik kami boleh dapat,” kata Nitin dalam temu bual di Singapura.

Untuk jangka panjang, kekurangan itu akan mendorong pembinaan kilang polysilicon baru, termasuk pengumuman bulan ini mengenai kemudahan terbesar di dunia di China.

“Semua perlu menjangkakan bahawa setiap bahan yang memiliki pertumbuhan seperti yang berlaku pada polisilikon akan terus memiliki kapasiti suntikan ke dalam sistem. Cabarannya ialah masa untuk kapasiti itu tumbuh dengan sempurna,” kata  Nitin. — Bloomberg

(Visited 54 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button