NasionalParlimen

Kementerian pertanian tidak wajar bina ‘mahligai baharu’ dalam bajet Covid-19

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan tidak sepatutnya fikirkan untuk membina bangunan baharu ketika rakyat dan negara sedang berhadapan pandemik.

Mereka sepatutnya fikirkan soal pendapatan dan bantuan kepada isu tekanan ekonomi yang dihadapi oleh petani, peladang dan pekebun kecil berkaitan penjualan hasil pertanian.

Ini kerana, golongan tersebut dilapor masih lagi terbelenggu dengan masalah pendapatan dan tergolong dalam kategori rakyat berpendapatan terendah bernilai RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Justeru, cadangan pembinaan bangunan baharu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bernilai RM220 juta itu dipertikaikan.

“Menteri telah mengumumkan pembinaan ataupun urusan land swap dan membina bangunan baharu pejabat korporat FAMA bernilai RM220 juta yang akan dibina di Kelana Jaya.

“Masalah pemasaran tidak akan dibantu dan diselesai dengan pembangunan bangunan korporat yang baharu.

Kata menteri, ia tidak melibatkan beban kewangan. Ini tanah kerajaan, ada lebihan RM60 juta. Kita tahu proses land swap ini proses yang sangat kontroversi.

“Jadi menteri harus lebih teliti, apa keutamaan kita, hendak bantu peladang dan petani jual barang mereka makanan, ternakan dan sebagainya atau hendak buat mahligai baharu di Kelana Jaya.

“Itu bagi saya sangat penting terutama dalam keadaan mendesak sekarang.”

Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan pembinaan bangunan baharu oleh FAMA, dalam perbahasan belanjawan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya melihat kembali peranan dan fungsi utama penubuhan FAMA yang ditubuhkan pada 1965.

Menurut Anwar, penubuhan FAMA ketika itu menerima pencanggahan pendapat yang hebat dalam kalangan pemimpin UMNO dan MCA berikutan isu perkauman dikaitkan.

“Yang juga terkait dalam perkara ini, saya sebutkan pihak kementerian harus kembali melihat peranan FAMA, penubuhannya juga sangat kontroversi dahulu.

“Pertelagahan besar di antara pimpinan UMNO dengan pimpinan MCA kerana dilihat itu dari sudut kaum.

“Saya melihat itu dari sudut pemberangsang, lintah darat, orang mengaut keuntungan yang membebankan dan memiskinkan petani yang sudahpun miskin.

“Jadi, saya harap menteri terutama dari Sabah, kerana masalah pengangguran di Sabah itu sudah melonjak tinggi dari segi peratus pelonjakan yang paling terkesan semasa Covid-19,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana mengembalikan peranan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada pertubuhan peladang.

Katanya, langkah itu lebih baik diurus oleh persatuan peladang sendiri berbanding dimonopoli oleh syarikat korporat sehingga membebankan petani.

“Saya ucap terima kasih, tahniah kepada menteri bila Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang kebetulan saya tubuh semasa menjadi Menteri Pertanian, mengambil-alih peranan daripada Bernas.

“Monopoli yang diberikan kepada Bernas saya anggap amat membebankan petani.

Lebih baiklah persatuan-persatuan pelandang dan petani sendiri yang menguruskan.

Tetapi saya ingin tekankan, saya percaya menteri sedia maklum bahawa, kalau tidak diawasi Nafas itu pun jadi satu badan korporat baharu,” ujarnya. – SM

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button