MahkamahNasional

Sanusi mengaku tak bersalah pertuduhan berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan

SELEPAS dihadap ke mahkamah satu pertuduhan pagi ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

“Faham faham Yang Arif.. Tak salah Yang Arif,” katanya selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Beliau didakwa melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Sanusi.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, manakala peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – SUMBER BERITA HARIAN – SM

BACA Sanusi mengaku tak bersalah satu pertuduhan menghasut pelantikan MB

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button