fbpx
Nasional

Tempoh minimum untuk upacara sembahyang, pengebumian

UPACARA sembahyang dan pengebumian individu bukan beragama Islam di Pahang, perlu dilaksanakan dalam tempoh paling minimum, di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, ketetapan itu terpakai mulai hari ini sehingga perintah itu ditarik semula, bagi kematian bukan disebabkan wabak COVID-19 atau penyakit berjangkit.

Katanya, keluarga individu terbabit juga perlu mendapatkan permit pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan daripada Ketua Polis Daerah, sebelum dibenarkan menguruskan upacara pengebumian.

“Kehadiran yang dibenarkan adalah minima atau tidak melebihi 10 orang ahli keluarga terdekat, iaitu ibu bapa, pasangan, anak atau adik-beradik si mati yang telah mengisytiharkan diri mereka sihat.

“Hanya mereka yang dibenarkan mengiringi si mati ke tanah perkuburan atau tapak krematorium,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.


Sallehuddin berkata kerajaan negeri juga menetapkan, upacara sembahyang mengikut agama atau adat dilaksanakan di rumah dan perlu diselesaikan dalam masa paling minima, tanpa upacara perarakan.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa pada 18 sehingga 31 Mac, bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang setakat ini, telah meragut empat nyawa di Malaysia.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia ialah sebanyak 1,183 kes dengan 37 kes daripadanya, direkodkan di Pahang. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button