Nasional

Mahu boikot buah limau Mandarin kerana geram Uighur ditindas

KUALA LUMPUR – Nampaknya kebencian orang Islam di Malaysia terhadap kerajaan China yang menindas dan berlaku kejam terhadap umat Islam Uighur di negara itu memasuki tahap baharu.

Terkini terdapat gerakan daripada page-page pengguna Islam di Facebook yang menggesa umat Islam di Malaysia tidak membeli atau memboikot penjualan buah limau Mandarin.

Buah limau Mandarin yang diimport daripada China kebiasaannya akan melimpah di pasaran tempatan ketika sambutan Tahun Baharu Cina. Tahun ini perayaan terbesar masyarakat Tiong Hua itu akan diraikan pada 25 Januari depan.

Buah limau mandarin yang dipanggil “kam” dalam bahasa Kantonis bermaksud emas adalah kewajipan setiap Tahun Baharu Cina kerana ia melambangkan limpahan kekayaan kepada masyarakat Tiong Hua.

Warna limau yang keemasan itu seperti memberi jongkong emas kepada orang lain .

Bagaimanapun buah yang kaya mineral dan vitamin itu kini menjadi sasaran kebencian masyarakat muslim Malaysia terhadap kerajaan China apabila penindasan berterusan dilaporkan berlaku terhadap umat Islam Uighur.

Mereka berasa geram, sebak dan sedih dengan gambar dan video kekejaman yang dilakukan ke atas umat Islam Uighur oleh kerajaan China yang disebarkan di media sosial.

Antaranya satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan ratusan lelaki yang ditutup mata digari kaki dengan kepala dibotakkan, dipercayai penduduk Islam etnik Uighur di China dikumpulkan dekat stesen kereta api untuk dibawa ke kem tahanan.

Menurut news.com.au, rakaman video itu yang tiada pengesahan, disiarkan di YouTube menggunakan akaun baru ‘War on Fear’. Rakaman itu turut disiarkan di Twitter oleh @warcombatfear.

“Video ini dirakam di China. Ini adalah penindasan yang sudah sekian lama terhadap hak asasi manusia dan asas kebebasan oleh kerajaan China di Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur,” kata keterangan mengenai video itu.

Sumber agensi keselamatan Eropah memberitahu Sky News, mereka percaya rakaman itu asli yang mungkin dihasilkan awal tahun ini. “Kami sudah meneliti video itu dan percaya ia asli, kejadian itu benar-benar berlaku.”

Pada 4 Disember lalu Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) telah mengundi 407-1 bagi meluluskan rang undang undang yang mengenakan sekatan khusus terhadap anggota kerajaan China.

Akta Uighur dibentang di Kongres AS sebagai tindak balas terhadap usaha pelbagai pihak menarik perhatian dunia ke atas penindasan yang berterusan dikenakan China terhadap warga Islam kalangan etnik Uighur di Wilayah Xinjiang.

Ini termasuk pengurungan dan penahanan sehingga satu juta kaum etnik itu yang dipaksa melalui proses `rehabilitasi minda’ (brainwashing) melalui deraan fizikal dan mental.

 

 

Kaum etnik Uighur itu ditempatkan secara paksa dalam kem yang didedahkan badan bukan kerajaan (NGO) dan media antarabangsa melalui imej yang disokong intipan satelit.

Baru-baru ini penindasan terhadap umat Islam Uighur turut mendapat perhatian pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil yang menyuarakan sokongan terhadap etnik tersebut.

Ozil adalah warga Jerman berketurunan Turki. Beliau mengutuk operasi kejam China terhadap minoriti Muslim itu dalam muat naik di Twitter, ketika mengkritik negara Muslim kerana gagal bersuara membantah kekejaman terbabit.

“Al-Quran dibakar, masjid ditutup, sekolah Muslim diharamkan. Ulama dibunuh satu per satu. Saudara se-Islam dihantar ke kem.

“Muslim tidak bersuara. Suara mereka tidak kedengaran,” menurut Ozil dalam tulisan di Twitter dalam bahasa Turki,

Dan kerana tindakan Ozil itu, stesen penyiaran kerajaan China, CCTV menarik balik siaran langsung perlawanan antara Arsenal dan Manchester City daripada programnya. Mungkinkah Ozil juga akan bersama-sama gerakan memboikot limau Mandarin dari China?-SM

(Visited 360 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button