Luar Negara

PRU Singapura: PAP tidak gentar berdebat secara terbuka

Hari pengundian, 10 Julai ini

WAKIL Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr. Vivian Balakrishnan berkata, PAP tidak gentar berdepan idea untuk berdebat secara terbuka.

Dr. Balakrishnan berkata demikian dalam satu daripada dua debat politik Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura 2020 yang bersiaran secara langsung malam tadi.

“Kami berbuat demikian dalam kehidupan sebenar… semasa berkempen.. kami berbuat demikian secara dalam talian…

“Kami juga berbuat demikian dalam Parlimen,” kata Dr. Balakrishnan yang bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Holland-Bukit Timah pada pilihan raya umum itu.

Katanya lagi, beliau berharap para pengundi sedar bahawa biar apa pun keputusan pilihan raya ini, akan terdapat lebih ramai ahli pembangkang baharu yang bertanding untuk berada dalam Parlimen

Dr. Balakrishnan yang juga Menteri Luar kerajaan sementara berkata, kesemua Ahli Parlimen, sama ada mereka memenangi kerusi atau hadir sebagai NCMP (Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi) mempunyai hak untuk mengundi sepenuhnya termasuk bagi meminda perlembagaan dan usul percaya atau tidak percaya terhadap kerajaan.

“Jadi, kami bersikap terbuka sepenuhnya terhadap debat ini kerana pada akhirnya, kita semua adalah rakyat Singapura dan sudah tentu kita mahukan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sejumlah 93 Ahli Parlimen bakal dipilih, menyaksikan peningkatan berbanding 89 ketika ini bagi mengisi kerusi parlimen seterusnya.

Perlembagaan republik itu memastikan bahawa akan terdapat sekurang-kurangnya 21 suara alternatif dalam Parlimen selepas pilihan raya umum kali ini.

Selain calon pembangkang yang memenangi kerusi, akan terdapat sejumlah 12 NCMP daripada kalangan baki calon pembangkang yang menerima undi tertinggi bagi memastikan sekurang-kurangnya terdapat 12 Ahli Parlimen pembangkang berbanding sembilan sebelum ini.

Kesemua NCMP akan mempunyai hak penuh untuk mengundi termasuk bagi pindaan perlembagaan dan rang undang-undang perbekalan bagi belanjawan.

Turut serta dalam debat yang disiarkan Mediacorp itu ialah Francis Yuen (Parti Kemajuan Singapura), Dr Jamus Lim (Parti Pekerja) dan Dr Chee Soon Juan (Parti Demokratik Singapura).

Bertajuk ‘Singapore Votes 2020 – The Political Debate,’ program sejam itu terdiri daripada dua segmen.

Segmen pertama menyaksikan seorang moderator akan menyoal empat calon mengenai beberapa topik termasuk pengangguran, langkah membantu perniagaan dan mobiliti sosial.

Segmen kedua pula menyaksikan setiap calon berpeluang menyoal calon lain dalam urutan berstruktur dan menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya oleh calon lain.

Debat kedua adalah dalam Bahasa Mandarin dan disiarkan sejurus selepas debat dalam Bahasa Inggeris. – BERNAMA

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button