Nasional

Langkah reformasi awal kerajaan buahkan hasil – Anwar

LANGKAH reformasi awal yang dilaksana kerajaan membuahkan hasil bukan sahaja dari sudut peningkatan pelaburan, malah Malaysia menerima pengiktirafan dari negara luar tentang kesungguhan kerajaan, penjawat awam dan sektor awam melaksanakan program perubahan.

Langkah itu termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dalam fiskal dan ekonomi negara diurus dengan lebih baik.
“FRA itu bermakna Menteri Kewangan mengambil keputusan menyerahkan sebahagian tugasnya supaya dipantau secara langsung oleh Parlimen, dia tidak terlepas seperti biasa. Itu sebab saya lakukan, kerana ini juga akan bantu menambah keyakinan kepada masyarakat, pelabur domestik dan luar negara,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Menurut Perdana Menteri, negara tidak dapat diselamatkan dari hutang yang tinggi sekiranya tidak diperbetulkan pengurusan kewangan, defisit tidak dikurangkan dan pengurusan belanjawan tidak dilakukan secara lebih berhemah.

Katanya, sejak awal mengemudi pentadbiran ini, kerajaan tekankan soal tatakelola.
“Banyak wacana dan perbahasan mengenai isu tadbir urus dan mengapa perang rasuah dengan keras. Ada pandangan menyatakan kita harus ambil pendekatan yang lunak dan lumayan, jalankan kerja seperti biasa dan ini bukan pilihan kita.
“Saya yakin Malaysia punyai keupayaan untuk diangkat martabat dan darjatnya sebagai negara maju, tetapi harus bermula dari pimpinan yang punyai integriti dan penjawat awam yang mengikut kehendak perubahan sedaya-upaya.
“Tiada makna pimpinan baharu nak pertahankan semua kaedah lama…yang baik kita manfaatkan, tapi kebiasaan untuk menggondol kekayaan dan memperkayakan pimpinan, tidak boleh,” katanya.
Kerajaan katanya, tekad untuk terus tegas dalam isu memerangi rasuah meskipun ada bantahan dan tuntutan supaya kontroversi berkaitnya dikurangkan.
(Visited 7 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button