Luar Negara

Tedros Adhanom KP WHO kontak rapat Covid-19, jalani kuarantin kendiri

KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dikenal pasti kontak kepada seorang individu yang disahkan positif Covid-19. Walaupun beliau mengakui masih sihat dan tiada gejala namun tetap menjalani kuarantin kendiri.

Demikian menurut laporan Agensi Anadolu.

Memetik ciapan Adhanom menerusi Twitternya semalam: “Saya dikenal pasti sebagai kontak seseorang yang disahkan positif Covid-19.

“Saya sihat dan tiada gejala tetapi akan menjalani kuarantin kendiri untuk beberapa hari akan datang sejajar dengan protokol WHO dan bekerja dari rumah.”

Beliau juga mencatat, “Sangat penting kita semua mematuhi panduan kesihatan. Ini caranya kita akan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, mengekang virus itu dan melindungi sistem kesihatan.

“Rakan sekerja WHO dan saya akan terus berhubung dengan rakan kongsi dalam solidariti untuk menyelamatkan nyawa serta melindungi mereka yang berisiko tinggi.”

Virus Covid-19 telah meragut lebih 1.19 juta nyawa di 189 negara dan rantau sejak ia mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019.

Amerika Syarikat, India dan Brazil ialah negara paling terjejas ketika ini.

Lebih 46 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan lebih 31 juta pesakit sudah pulih, menurut statistik Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di AS. – SM

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button