Nasional

Kerajaan komited lahirkan lebih ramai kebolehpasaran graduan TVET IPT

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 16 Jun – Kerajaan terus komited untuk terus memperkasakan sektor teknikal, khususnya melahirkan
graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari institusi pengajian tinggi (IPT) selaras dengan penekanannya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ini berikutan kadar kebolehpasaran graduan IPT
melonjak sebanyak 1.4 peratus pada tahun 2021 mencatat 94.17 peratus berbanding 92.27 peratus pada tahun
2020.

Menurutnya, peningkatan itu memberikan indikator yang positif bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga
pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Jelasnya, itu menunjukkan usaha kementerian menggabungkan elemen keusahawanan dan teknikal membolehkan
segala perancangan serta dapat menentukan hala tuju strategik pembangunan khususnya graduan TVET terus
diperkasakan.

“Sebab itu, kememterian telah tetapkan TVET sebagai agenda nasional. Dalam siri lapan lawatan kerja
ke luar negara baru-baru ini, saya turut mengambil peluang untuk mempromosikan TVET Malaysia di pentas
antarabangsa.

“Ketika di World Education Forum (WEF) 2022 di London baru-baru ini, saya telah berkongsi perspektif
Malaysia berkaitan dengan pembangunan pendidikan inovatif termasuklah tentang Transformasi TVET,” ujarnya.

Beliau berucap merasmikan penutupan Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita 2022 sempena Minggu TVET
Negara 2022 di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk
Kalsom Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Canselor
UTeM, Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Bercakap mengenai mengenai penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan teknikal Noraini berkata,
perniagaan milikan kaum itu telah menyumbang sebanyak RM69.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK).

Malah katanya, ia turut membuka peluang kepada hampir 800,000 peluang pekerjaan.

“Jumlah perniagaan milikan wanita di negara ini merangkumi 20.6 peratus atau 186,855 daripada keseluruhan
jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara,” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, jurang gender memperlihatkan Malaysia berada di kedudukan ke-104 daripada 156 buah
negara daripada segi penyertaan wanita dalam sektor ekonomi.

Katanya, ia menunjukkan penurunan berbanding tahun 2020 di mana Malaysia pernah berada di tangg ke-97. Ini
secara tidak langsung menunjukkan masih banyak ruang dan peluang yang boleh diterokai dalam upaya
meningkatkan keterlibatan wanita dalam bidang keusahawanan.

(Visited 416 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button