
Teater “Suluh Peraba” Sindir Masyarakat Sesat Berfikir
SETELAH 24 tahun, sebuah karya penuh makna dan simbolisme — Suluh Peraba — kembali menghiasi pentas teater, membawa adaptasi daripada novel nukilan Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari. Naskhah ini digarap semula dengan skrip oleh Allahyarham Zakaria Ariffin dan diarahkan oleh Subroto Hj. Katimin. Persembahan istimewa ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pementasan akan berlangsung pada 16 Mei 2025 (8.30 malam) dan 17 Mei 2025 (2.30 petang dan 8.30 malam) bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Menurut pengarah, Subroto Hj. Katimin, teater ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana beliau pernah terlibat dalam produksi yang sama pada tahun 2001 sebagai Penolong Pengarah dan pelakon utama. “Suluh Peraba sangat dekat di hati saya. Ia bukan hanya adaptasi karya hebat, malah satu penghormatan kepada penulis skripnya, Allahyarham Zakaria Ariffin, yang baru meninggal dunia pada Februari lalu,” ujarnya.
Mengangkat tema konflik antara rasional dan kepercayaan karut, teater ini mengetengahkan dua watak utama, Asmal dan Odai, yang menentang amalan perbomohan dan tahyul dengan menubuhkan kelab “Suluh Peraba”. Namun, tekanan keluarga dan keadaan memaksa mereka sendiri kembali kepada amalan yang pernah mereka kritik.
Subroto menjelaskan, perubahan utama dalam pengarahan kali ini adalah latar zaman yang dikemas kini kepada tahun 2025, namun masih mengekalkan roh dan mesej asal karya. Persembahan ini juga menampilkan simbolisme visual dan elemen estetika mistik, diolah dalam pendekatan satira komedi yang mendidik.
“Kita masih melihat kepercayaan kepada bomoh dan tahyul berakar dalam masyarakat hari ini. Maka, pementasan ini adalah satu bentuk refleksi, sindiran dan peringatan agar kita tidak tergolong dalam golongan yang sesat. Sambil berhibur, penonton akan ‘terjentik’ untuk berfikir,” tambah Subroto.
Pengarah berharap pementasan ini dapat menarik perhatian generasi muda agar lebih kritikal terhadap kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran agama dan kembali menghargai budaya Melayu yang berlandaskan syarak.