MahkamahNasional

Najib tiba di Mahkamah Persekutuan untuk mohon semak semula sabitan kes SRC

Hadir sama, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya untuk pendengaran permohonannya agar sabitan dan hukuman penjaranya dalam kes rasuah SRC International disemak semula.

Memetik laporan FMT, panel lima hakim dijangka mendengar permohonan tersebut hari ini yang dibuat mengikut Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk terlebih dahulu menentukan sama ada ia kes yang layak disemak semula.

Najib, 69, memfailkan permohonan semakan semula itu pada September lalu selepas mahkamah tertinggi mengesahkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes itu.

Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang jika gagal dibayar, akan ditambah lima tahun penjara.

Najib meminta keputusan itu diketepikan dan satu lagi panel hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim untuk mendengar semula rayuannya.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir di mahkamah pagi ini.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mengetuai panel lima hakim yang mendengar permohonan Najib.

Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais yang dilantik ke panel tersebut.

Pelantikan tersebut dibenarkan mengikut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa ketua hakim negara boleh mencalonkan hakim Mahkamah Rayuan untuk bersidang di Mahkamah Persekutuan. – SM

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button