Politik

Tawaran pada Muhyiddin sertai UMNO hanya laku sebelum PRU-15 – Nur Jazlan

TAWARAN kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk masuk semula ke UMNO hanya laku sebelum pilihan raya umum ke-15 yang dipercayai dipercepatkan akhir tahun ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed membangkitkan perkara itu sebagai menjawab tawaran Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kepada presiden Bersatu itu supaya menyertai UMNO.

“Beliau (Muhyiddin) masih menjadi calon PM pilihan rakyat yang terpopular sekarang.

“Bagaimanapun cadangan (Tok Mat) ini tidak akan berjaya sekiranya PRU-15 dilambatkan kerana populariti Tan Sri Muhyiddin dijangka menurun selepas muhibah dari pengurusan Covid berakhir dan rakyat beralih perhatian kepada realiti kesusahan ekonomi tahun depan.

“Dan beliau (Muhyiddin) pun kena bertindak cepat kerana Bersatu pun masih lemah dan rancangannya untuk membentuk Perikatan Nasional (PN) dan menjadi pengerusi PN nampaknya semakin malap,” kata beliau kepada Suara Merdeka malam ini.

Semalam, Mohamad berkata, UMNO bersedia menerima semula Muhyiddin sekiranya Perdana Menteri berminat untuk berbuat demikian.

Kata Timbalan Presiden UMNO itu, parti itu juga boleh mengubah keputusan pemecatan terhadap Muhyiddin yang dibuat pada 2016 kerana bekas orang nombor dua UMNO itu juga tidak pernah meninggalkan parti tersebut.

Menurut Nur Jazlan, cadangan untuk menerima Muhyiddin semula turut bergantung kepada formula dan persetujuan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima beliau sebagai calon Perdana Menteri dari UMNO.

“Pasal pemilihan UMNO hanya akan berlaku tahun depan. Jadi, dalam ketiadaan pemilihan parti, kedudukan Tan Sri Muhyiddin perlu ditentukan kalau beliau diterima balik dan tak semestinya sebagai Presiden UMNO untuk dia dicalonkan sebagai Perdana Menteri dari UMNO

“Masalah Tan Sri Muhyiddin pula pasal dia takut kalau rundingan agihan kerusi tak memihak kepada Bersatu dan dia dapat sikit sahaja.

“Dan UMNO dapat kerusi terbanyak, maka kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 pun tergugat pasal secara konvensional, UMNO sebagai parti terbesar akan tuntut jawatan Perdana Menteri selepas PRU-15

“Kalau dia tidak bertindak cepat, popularitinya akan menurun selepas moratorium habis bulan Oktober ini. Dia tak boleh lengahkan PRU sampai tahun depan. Dia akan kalah juga kalau tak buat dalam tahun ini,” kata Nur Jazlan.

– SM

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button