NasionalpilihanTravel

Tawaran menarik penebusan e-baucar untuk tiket penerbangan domestik

Salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 bagi Kluster Pengangkutan Udara dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik seiring peralihan ke fasa endemik.

Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0), adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan yang melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Di bawah Kluster Pengangkutan Udara, dianggarkan seramai 45,879 rakyat Malaysia berpeluang menebus tawaran e-baucar bernilai antara RM25 sehingga RM100 menerusi pembelian tiket penerbangan secara dalam talian melibatkan lima syarikat penerbangan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2022.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berucap dalam Majlis Pelancran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) Kluster Pengangkutan Udara di Bangi Selangor hari ini. Foto: Suara Merdeka

Lima syarikat penerbangan tersebut ialah Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air (Malindo Air), Firefly dan MASwings. Pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi atau laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pelancaran inisiatif ini bertujuan menarik minat orang ramai khususnya Keluarga Malaysia untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan udara pada harga diskaun istimewa.

“Kerjasama strategik yang dijalinkan oleh Tourism Malaysia bersama syarikat-syarikat penerbangan ini disasarkan untuk merangsang kembali pemulihan industri pelancongan sekali gus membantu kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri bergambar bersama wakil Tourism Malaysia dan syarikat-syarikat penerbangan yang terlibat menjayakan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) Kluster Pengangkutan Udara ini. Foto: Suara Merdeka

Malaysia Airlines (MAS) akan mempromosikan tawaran e-baucar bernilai RM100 untuk 10,000 pengguna manakala Firefly dan Batik Air masing- masing menawarkan penebusan sebanyak RM50 kepada 4,000 penumpang. Seramai 4,000 pengguna MASwings pula boleh menebus e-baucar bernilai RM25. Tawaran bagi tiket penerbangan melibatkan MAS, Firefly, Batik Air dan MASwings ini adalah terhad untuk satu kali penebusan sahaja.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia boleh melakukan penebusan maksimum sehingga tiga kali bagi tawaran e-baucar bernilai RM50 melibatkan penerbangan sehala atau dua hala AirAsia yang disasarkan untuk 23,879 penumpang.

Penebusan e-baucar yang ditawarkan oleh semua syarikat penerbangan tersebut adalah terhad kepada sektor penerbangan domestik sahaja. – SM

Artikel berkaitan > Diskaun serta pelanjutan tempoh pembayaran kompaun pengusaha pelancongan diluluskan – MOTAC

 

(Visited 267 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button