Bola SepakSukan

Tarikh bermulanya Liga M belum diputuskan

TARIKH rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 disambung semula masih belum ditetapkan walaupun kerajaan sudah memberi kebenaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perkara itu akan diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas menerima laporan penuh tahap kebersediaan daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, mereka akan mengambil kira  pelbagai faktor sebelum mengumumkan tarikh untuk menyambung semula saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lalu.

Ia bagi memastikan saingan lebih kompetitif dan berkualiti.

Katanya, MFL juga mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan yang mungkin dihadapi pemain sekiranya pasukan tidak memiliki waktu secukupnya untuk mempersiapkan diri ke tahap fizikal terbaik.

“Selain itu pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue yang bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses pembasmian kuman dan nyahcemar venue perlawanan.

“Semua pasukan turut digesa untuk menjalankan proses penyelengaraan dan baik pulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini MFL merancang meneruskan kembali saingan Liga Super dan Liga Premier yang terjejas susulan pandemik COVID-19 masing-masing pada 1 dan 2 September berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 Okt sehingga 7 Nov.

Sementara saingan Piala FA dan Piala Cabaran, yang juga sebahagian daripada pertandingan dalam Liga-M 2020, dibatalkan.

MFL juga akan mempertimbang untuk memberi kebenaran bagi pasukan mengadakan siri perlawanan persahabatan sebelum kempen liga bersambung, namun tumpuan kini adalah kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam Fasa 2 latihan berpasukan.

Ab Ghani mengingatkan setiap pasukan supayas mematuhi SOP sepanjang Fasa 2 latihan berpasukan yang bermula Rabu depan bagi memastikan kelancaran usaha menyambung semula saingan liga.

“MFL berharap serta memohon supaya semua pasukan mengekalkan disiplin serta komitmen yang tinggi dengan mematuhi garis panduan serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan pegawai dan pemain pasukan sepanjang tempoh Fasa 2 latihan berpasukan,” katanya.

Dalam pada itu, MFL berterima kasih kepada kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementeria Belia dan Sukan (KBS) atas bantuan serta sokongan terhadap usaha MFL merealisasikan impian setiap pasukan menjalani latihan berkontak. – SM

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button