Nasional

Kerajaan sedang usahakan rang Undang-undang sekat sebar agama lain kepada orang Islam

KERAJAAN sedang berusaha menggubal rang undang-undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Ia dijangka akan dibentangkan tahun depan kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Katanya, usaha ke arah penggubalan RUU itu sedang giat dijalankan dan pihaknya langsung tidak mempunyai niat untuk memberhentikannya seperti yang dimomokkan sesetengah pihak.

“Kalau kerajaan sebelum ini berusaha (menggubal akta ini), kita pun berusaha… kita akan teruskan akta kawalan agama bukan Islam kepada orang Islam, bagi menjamin akidah orang Islam dengan adanya kawalan berkenaan. Ketika ini prosesnya masih di peringkat kajian Jabatan Peguam Negara.

“Apabila ia sudah diluluskan (Jabatan Peguam Negara) saya sebagai menteri yang bertanggungjawab akan bawa RUU ini untuk mendapat persetujuan kabinet,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen meminta kerajaan supaya menyegerakan pembentangan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang pernah dicadangkan Pas sebelum ini.

Menurut Zulkifli, undang-undang syariah peringkat Persekutuan diperlukan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi kuasa menyiasat aduan berhubung dakwaan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Mohd Na’im berkata pihaknya tidak menerima sebarang tekanan oleh mana-mana pihak dalam memartabatkan lagi syiar Islam di negara ini.
Beliau berkata semua pihak dalam kerajaan MADANI menghormati dan mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang tertakluk dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. – SM
(Visited 16 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button