Berita

Tarantula kereta perisai pertama buatan Malaysia

Buat julung kalinya Malaysia memiliki kereta perisai pertama buatan tempatan, kereta perisai mobiliti tinggi pacuan empat roda (HMAV 4×4) Tarantula.

Ia dihasilkan 100 peratus sentuhan anak tempatan menerusi Mildef International Technologies Sdn Bhd dan ini membuktikan kepada pemain industri pertahanan seluruh dunia tentang keupayaan serta kemahiran syarikat Malaysia.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kereta berperisai itu yang siap tiga bulan lepas hasil usaha lapan jurutera dan lebih 100 tenaga kerja Kementerian Pertahanan (Mindef) selain melibatkan kos sepanjang penyelidikan dan pembangunan mencecah RM16 juta dalam tempoh empat tahun.

“Ini merupakan keluaran Malaysia. Saya telah sebutkan (sebelum ini) Mindef akan beri fokus supaya pakar dalam negara iaitu anak Malaysia mampu mengeluarkan senjata sendiri supaya kita tidak lagi bergantung kepada negara luar di dalam perkara berkaitan peralatan ketenteraan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menamakan kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 (HMAV4x4) Pertama Malaysia sebagai “Tarantula” di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Sungai Besi hari ini.

“Anak Malaysia hari ini berjaya membuktikannya. Sebelum ini, kita berjaya menghasilkan peluru dan komponen pesawat serta saya berikan jaminan sebagai galakan kepada industri pertahanan negara melibatkan anak tempatan ini, Mindef akan menjadikan pengeluaran Malaysia itu sebagai satu kelebihan di dalam perolehan kementerian,” katanya.

Ismail Sabri berkata Tarantula melalui pelbagai penilaian antaranya penggunaan bahan api, ujian muatan dan ujian mendaki yang dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh tentera darat setanding dengan pelaksanaan di peringkat antarabangsa.

Ujian itu berlangsung selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700 kilometer (km) di atas jalan raya dan 300 km secara “off road” termasuk beberapa ujian berhalangan lain.

Nama Tarantula ini diambil daripada Tarantula iaitu spesies labah-labah bertaring, bersaiz besar dan berbulu serta mempunyai keupayaan mengubah warna dan tingkah laku mengikut persekitaran serta mampu membunuh haiwan lain yang lebih besar daripadanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kereta berperisai mobiliti tinggi ini juga dibina mengikut kesesuaian iklim dan cuaca di Malaysia.

Beliau berkata Tarantula turut menarik minat beberapa negara lain termasuk dari Timur Tengah.

“Teknologi (kenderaan ini) akan dipertingkatkan lagi jika perlu untuk menembusi pasaran antarabangsa dan berdasarkan kapasiti yang sedia ada ketika ini, Mildef International Technologies mampu menghasilkan 40 buah kereta berperisai mobiliti tinggi 4×4 Tarantula ini bagi tempoh setahun jika ada permintaan,” katanya.

Dengan keupayaan lasak dan mampu mencapai kelajuan 110 km sejam, HMAV 4×4 juga berupaya melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan serta memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan

-BERNAMA

(Visited 406 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button