Travel

Tapaqking restoran ikan bakar terbesar di Port Dickson

Pemilik Kings Char Kuey Teow kembangkan sayap buka restoran ikan bakar

WABAK maut Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kesan yang besar kepada banyak perniagaan baik yang kecil mahupun besar.

Ada pengusaha yang tidak berupaya untuk berhadapan dengan kerugian berterusan terpaksa menutup perniagaan sehingga menyebabkan pekerja hilang sumber pendapatan.

Namun sebaliknya, pemilik restoran Kings Char Kuey Teow yang terkenal di Malaysia, Aizat Zulhailie Abu Bakar bukan sahaja mampu mempertahankan perniagaan char kuew teow yang terbesar di Port Dickson itu tetapi dia juga mampu membuka sebuah lagi restoran, Tapaqking.

Tapaqking merupakan  restoran ikan bakar terbesar di pusat pelancongan itu dan dibina tidak jauh dari lokasi Kings Char Kuey Teow yang terletak di Batu 4 Jalan Pantai Port Dickson.


“Insya-Allah dan alhamdullilah setelah membina hampir 10 tahun restoran Kings Char Kuey Teow dengan kunjungan pada 258,000 orang tahun lalu, kini kita akan buka restoran ikan bakar terbesar di Port Dickson. Tapaqking akan mula beroperasi pada hari raya ketiga iaitu pada Sabtu 15 Mei.

“Jika Kings Char Kuey Teow dikendalikan oleh pekerja seramai 60 orang, Tapaqking ini akan mempunyai tenaga kerja seramai 40 orang,” kata Aizat Zulhailie.

Ahli perniagaan berusia 33 tahun itu memberitahu,  restoran Tapaqking boleh memuatkan 700 orang pelanggan pada satu-satu masa.

Restoran tersebut dibuka dari pukul 11 pagi hingga 11 malam dengan kemudahan pakir kenderaan dan surau untuk bersolat.

Aizat Zulhailie yang tidak gentar dengan persaingan perniagaan ikan bakar yang banyak di Port Dickson berkata, Tapaqking mempunyai keistimewaan dan tarikan yang tersendiri berbanding restoran yang menghidangkan menu yang sama.

 

“Kita sediakan pada waktu pagi ikan segar yang dibakar dan dimakan bersama nasi lemak. Kita ada antaranya ikan caru, ikan keli, ikan siakap, bawal emas, bawal hitam, ikan pari, patin tempoyak, pais patin.

“Selain ikan, Tapaqking juga menghidangkan lauk daging salai, itik salai dan beberapa menu salai yang lain. Selain itu restoran ini juga menghidangkan kari kepala ikan dan asam pedas tetel.

“Kita anggarkan setiap seorang pelanggan akan berbelanja antara RM10 hingga RM20 mengikut jenis dan saiz makanan. Kumpulan sasaran kita adalah pelancong serta golongan korporat yang mahu mengadakan majlis jamuan,” kata Aizat Zulhailie.

Beliau ditemui pada majlis Iftar Ramadhan Anak-Anak Syurga serentak pelancaran restoran Tapaqking pada Khamis.

Ditanya apakah strategi beliau mempertahankan perniagaan Kings Char Kuey Teow dan membuka Tapaqking dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan tidak berpihak kepada perniagaan akibat Covid-19, Aizat Zulhailie berkata, dia sentiasa mengamalkan sikap positif.

Menurut Pengarah Urusan Azraizat Global Sdn. Bhd. itu, sebagai seorang ahli perniagaan dia tidak terlalu memberikan perhatian kepada masalah semata-mata tetapi berusaha untuk mengekalkan jenama ada untuk dipertahankan. 

“Allahu-akbar. Kita dengar banyak runggutan daripada usahawan dan ahli perniagaan di luar sana dengan PKP, perniagaan jatuh, ekonomi tak menentu dan ancaman virus Covid-19.

“Nasihat saya adalah kita jangan fokus kepada masalah. Kita nak kembangkan perniagaan, kekalkan jenama, kekalkan pemasaran. Tanamkan keyakinan bahawa kita masih relevan dalam pasaran.

“Orang mungkin tidak membeli dengan kita, mungkin membeli dengan orang lain. Kita kena sentiasa menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama membina semula ekonomi negara,” kata dengan penuh yakin.

Aizat Zulhailie melayan tetamu yang mahu mengambil hidangan untuk berbuka puasa.

Justeru katanya, Tapaqking wujud kerana untuk memberi ruang dan peluang kepada ramai anak muda dan tenaga mahir yang memerlukan pekerjaan ketika ini.

Turut hadir pada majlis Iftar Ramadhan Anak-Anak Syurga yang dianjurkan adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin,  Pengarah Mara Negeri Sembilan Mimi Mazlin Mohamed Yusof , Ahli Majlis Perbandaran Daerah Port Dickson dan rakan-rakan perniagaan Negeri Sembilan.

Pada majlis turut Aizat Zulhailie  dan beberapa rakan perniagaan turut memberi sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim dari My Qaseh Care dan pelajar Madrasah As-Solihin.-SM

 

(Visited 94 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button