Nasional

Tapak ‘fun fair’ Eco Grandeur pernah disita, beroperasi dengan aman tanpa lesen!

3 terjatuh dari permainan Sotong Ride

TAPAK ‘fun fair’ di Eco Grandeur pernah disita Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 29 November lepas kerana tidak mendapat lesen beroperasi daripada MPKS. Bagaimana pun, operator tempat permainan tersebut tetap meneruskan operasinya.

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, kebenaran untuk beroperasi di tapak permainan berkenaan bagaimana pun diberikan kepada operator berkenaan oleh pihak pemaju bermula 2 Disember sehingga 8 Januari tahun depan memandangkan kawasan itu masih belum diserahkan kepada MPKS.

Beliau berkata, pihaknya pernah menerima permohonan daripada wakil penganjur untuk mendapatkan lesen pada 29 November dan 1 Disember lalu tetapi maklumat atau butiran permohonan didapati tidak lengkap.

“Proses mendapatkan lesen untuk ‘fun fair’ perlu kelulusan daripada Jabatan Penguatkuasaan MPKS, polis dan yang paling penting, daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor.

“Mereka pernah menyertakan kelulusan tersebut sewaktu membuka ‘fun fair’ di Klang tetapi tidak di Kuala Selangor. Kes ini akan dirujuk kepada JKKP Selangor dan polis,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak ‘fun fair’ berkenaan, hari ini.

Malam tadi, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh ketika menaiki permainan ‘Sotong Ride’ yang sedang berpusing di tapak ‘fun fair’ itu dan video serta gambar mengenai kejadian tersebut tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini susulan kejadian tersebut.

Namun, katanya, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, buat masa ini, kesemua mangsa iaitu seorang wanita berusia 31 tahun bersama adik perempuannya berusia 11 tahun serta seorang lagi wanita telah dibenarkan keluar dari Hospital Shah Alam selepas menerima rawatan. – BERNAMA – SM

(Visited 313 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button