Politik

Disenarai hitam: Tmbalan Presiden Muda cabar keputusan JPPM di mahkamah

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) akan dicabar di mahkamah atas keputusannya menyenarai hitam Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz daripada memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar.

Amira yang juga Adun Puteri Wangsa di Johor, meminta mahkamah membatalkan keputusan JPPM berhubung perkara itu dan mengeluarkan deklarasi bahawa Akta Pertubuhan 1966 tidak memberi badan kawal selia itu kuasa menghalang sesiapa daripada memegang jawatan.

Beliau memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman pada 13 Julai, dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos selepas tidak mendapat bantahan daripada peguam negara.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 14 Sept.

Dalam afidavitnya menyokong permohonan itu, Amira mendakwa, beliau dimaklumkan tentang penyenaraian hitam itu melalui e-mel daripada JPPM bertarikh 18 April.

E-mel itu dihantar untuk memaklumkan beliau dan beberapa aktivis lain tentang keengganan JPPM mendaftarkan satu lagi persatuan masyarakat sivil, Persatuan Impak Wanita Malaysia.

Amira berkata, JPPM bertindak demikian disebabkan pencalonannya sebagai pengerusi pro tem pertubuhan yang dicadangkan itu.

“Saya percaya kami telah menyerahkan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan oleh JPPM,” katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut menggunakan nombor MyKadnya di portal web JPPM mengesahkan penyenaraian hitam itu.

Amira berkata, senarai hitam itu berkuat kuasa pada 28 Okt tahun lepas, dikatakan mengikut Seksyen 13(1)(c)(iv) akta tersebut. Seksyen itu memberi kuasa kepada JPPM untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan jika ia dengan sengaja melanggar akta atau peraturan berkaitannya.

Beliau mendakwa, penyenaraian hitam itu, yang tidak mempunyai asas undang-undang, mungkin ada kaitan dengan peranannya sebagai setiausaha Persatuan Ekonomi Merdeka (PEM) antara 3 Ogos 2017 dan 19 Okt tahun lepas.

Amira mendakwa, pada 19 Okt tahun lepas, JPPM membatalkan pendaftaran PEM atas saranan Jabatan Insolvensi. JPPM turut mengarahkan beliau dan ahli jawatankuasa lain menyerahkan dokumen mengenai persatuan itu.

Beliau berkata, mereka memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Insolvensi cawangan Selangor walaupun tidak bersetuju dengan pembatalan pendaftaran PEM.

Beliau mendakwa, penyenaraian hitam itu melanggar hak asasinya untuk menubuhkan persatuan seperti yang dijamin bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tindakan JPPM dibuat dengan prasangka terhadapnya kerana senarai hitam itu akan menghalangnya daripada bertanding dan memegang jawatan dalam Muda. Ia juga akan menghalangnya daripada menubuhkan mana-mana persatuan untuk memperjuangkan hak wanita, pendidikan dan alam sekitar.

Amira berhujah bahawa keputusan JPPM untuk menyenaraihitamkannya tidak munasabah dan berdasarkan pertimbangan yang tidak relevan. – SUMBER FMT – SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button