Alam SekitarNasional

Program kesukarelawanan BaktiRAKYAT 2022 komited bantu capai agenda kelestarian negara

BANK RAKYAT komited dalam usaha memulihara dan memelihara kelestarian alam sekitar dengan meneruskan program kesukarelawanan BaktiRAKYAT 2022 baru-baru ini menerusi aktiviti penanaman dan pemeliharaan pokok di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong.

Aktiviti penanaman dan pemeliharaan anak pokok cengal ini merupakan inisiatif kesukarelawanan yang kedua dilaksanakan oleh Bank berkenaan pada tahun ini selepas mengadakan program pemuliharaan dan keceriaan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pangkalan Balak, Melaka pada Januari lalu.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, BaktiRAKYAT merupakan program kesukarelawanan yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang mana memfokuskan aspek pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan, sosioekonomi, pertanian dan khidmat sokongan.

Seramai 40 orang warga kerja Bank Rakyat bergambar semasa program kesukarelawanan BaktiRAKYAT 2022 baru-baru ini bertempat di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Menurut beliau, program ini yang bertepatan dengan Agenda Kelestarian negara, bertujuan untuk memberi kesan positif dan impak yang besar kepada kehidupan masyarakat yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekangan susulan penularan pandemik COVID-19.

“Sebagai bank yang prihatin, Bank Rakyat terpanggil untuk menyumbangkan impak kelestarian yang positif melalui pelbagai pelaksanaan program kesukarelawanan melibatkan warga kerja Bank di setiap pelusuk negara.

“Keseimbangan antara operasi perniagaan dan pemeliharaan alam sekitar amat penting dalam menjamin kehidupan sosioekonomi yang lebih mampan serta kelangsungan yang lebih baik pada masa hadapan,” ujar Datuk Haji Abd Rani.

Di samping itu, beliau berkata inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) untuk meningkatkan nilai kerjasama, memupuk semangat berkumpulan, mengikis sikap pentingkan diri dan cakna kepada persekitaran budaya komuniti serta alam sekitar bertepatan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Tambah beliau, sekurang-kurangnya satu program kesukarelawanan akan diadakan pada setiap bulan bermula Januari 2022 di peringkat wilayah dan ibu pejabat Bank Rakyat. Program ini menyasarkan 23,000 jam khidmat sukarela (volunteerism hours) pada Disember 2022 bersempena ‘Hari BaktiRAKYAT’ Bank Rakyat. – SM

 

 

(Visited 534 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button