Hiburan

Tanggungjawab penerbit sediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan

SOP di lokasi penggambaran

SEMENTARA menunggu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berwajib untuk dipatuhi oleh kesemua produksi penggambaran yang bakal beroperasi menjelang 10 Jun nanti, sutradara Rahila Ali berkongsi pandangan peribadinya dengan SUARA MERDEKA tentang apakah yang boleh diambil kira untuk dijadikan SOP.

Selain daripada penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, set atau lokasi penggambaran tidak boleh dijadikan medan untuk perhimpunan.

Justeru dalam satu-satu masa, paling ramai boleh berada di lokasi penggambaran mungkin 20 orang.

Menurut Rahila, selain daripada dua SOP yang biasa tersebut, perlu ada seorang yang memantau kesihatan setiap individu yang terlibat dalam penggambaran.

Dalam hal tersebut, produser perlulah mengambil tanggungjawab menyediakan seorang bagi memantau tahap kesihatan – tidak kira pelakon, pengarah atau pun krew-krew produksi.

“Suhu setiap orang perlu diambil untuk memastikan semua yang terlibat dalam penggambaran, berada pada tahap sihat.

“Jika ada yang kurang sihat atau demam, misalnya, maka dia perlu meninggalkan set penggambaran.

“Dia tidak boleh meneruskan penggambaran kerana kehadirannya mungkin akan memberi kesan kepada orang lain,” katanya yang pernah dijangkiti COVID-19 selepas pulang dari luar negara kerana menjalani penggambaran.

Selain itu, pihak penerbit juga perlu menyediakan face mask yang mencukupi sepanjang penggambaran diadakan.

“Mesti ada supply face mask untuk semua orang. Hanya pelakon sahaja yang berada di dalam set, tidak perlu memakai face mask. Selebihnya, perlu memakai face mask.

“Hand sanitizer juga perlu disediakan oleh pihak produser. Ini asas dan penting untuk dilakukan oleh mana-mana produser yang mahu beroperasi,” katanya.

Apabila menjalani sesebuah penggambaran, lazimnya makan dan minum disediakan untuk seluruh warga kerja produksi termasuk para pelakon yang terlibat.

Dalam keadaan sekarang, adalah molek jika makanan yang disediakan itu dibungkus dan tidak seperti lazimnya, disediakan secara buffet.

“Demi kesihatan semua, lebih baik makanan yang diberi itu dibungkus oleh pihak katering dan yang paling penting, semua mesti jaga kebersihan,” ujarnya.

Bagi mereka yang pernah mengikuti penggambaran, ada produser yang menyediakan pakaian atau wardbrobe.

Pakaian artis jangan dicampur aduk dan peralatan oleh juru solek pula tidak boleh dikongsi dalam kalangan pelakon yang terlibat dalam penggambaran.

Dalam erti kata lain, ujar Rahila, seorang jurusolek perlu mengasingkan peralatan menyolek seorang pelakon.

“Jurusolek yang bertugas, mesti sentiasa bersih dan nyah kuman. Kena lengkap guna mask, face shield, guna sarung tangan dan hand sanitize.

“Kita jaga kita, kalau kita nak memulakan kerja yang tergendala sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu,” katanya.

Image may contain: 2 people, tree, child, shoes, grass, outdoor and nature

Dalam mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan, pihak produksi juga disarankan agar memilih dan mengelakkan lokasi atau set penggambaran di tempat awam.

“Ini boleh dijadikan salah satu SOP, lokasi bukan di tempat yang ramai orang kerana kita perlu jaga penjarakan sosial.

“Kalau shooting di tengah-tengah orang ramai, mana mungkin boleh ada penjarakan sosial. Maka lebih baik pemilihan lokasi atau set, jauh daripada orang awam,” katanya.

Apabila dibenarkan beroperasi, penulis skrip perlulah bersedia untuk membuat perubahan ke atas skrip yang dihasilkan.

“Kita perlu elakkan adegan sentuhan. Jadi, kalau ada adengan yang bersentuhan, kena ubahlah skripnya.

“Pendekata, skrip pun perlu patuh SOP,” katanya.

Dengan apa yang dilontarkan oleh Rahila, mungkin boleh dimasukkan ke dalam SOP menjelang 10 Jun iaitu tarikh bermulanya produksi penggambaran drama dan filem beroperasi. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button