Ekonomi

AirAsia Food sediakan penyelesaian penghantaran lancar dengan komisyen 10 peratus

PLATFORM penghantaran makanan baharu AirAsia, airasia food, yang dikendalikan oleh Teleport, syarikat logistik milik Airasia Digital terus menawarkan kemudahan kepada peniaga untuk menyertai platform tersebut tanpa sebarang kos tersembunyi.

Airasia food yang dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020 menawarkan penyelesaian yang mudah dan lancar pada harga berpatutan kepada peniaga kerana ia mengenakan harga tetap dan komisen terendah hanya 10 peratus.

Menurut kenyataan hari ini, AirAsia menjelaskan peniaga boleh mendaftar pada harga tetap dan kemudian beralih kepada komisen 10 peratus.

“airasia food menawarkan perkhidmatan pembayaran dan penghantaran, memberikan para peniaga kawalan sepenuhnya dalam menguruskan menu dan harga makanan mereka.

“airasia food juga menawarkan liputan penghantaran sehingga 60 kilometer berbanding platform perkhidmatan pesanan makanan lain yang hanya menawarkan liputan penghantaran sehingga 15 atau 20 kilometer,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata pihaknya mengenakan harga tetap terendah dalam industri penghantaran makanan, dan berharap ini memberikan ‘kemerdekaan’ kepada restoran di luar sana.

“Kini, penghantaran makanan bukan sahaja pelengkap perniagaan malah antara saluran jualan utama bagi restoran dan perniagaan kecil. Seorang peniaga kami, JoshiJosh, telah meningkatkan jualan sebanyak 500 kali ganda dalam masa tiga bulan,” katanya.

Airasia food akan dilancarkan di Singapura pada akhir Januari 2021, dan akan dikembangkan ke bandar-bandar ASEAN lain. – BERNAMA

(Visited 512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button