Nasional

Tangguh Ops Gasak – Mula

KUALA LUMPUR: Pengusaha dobi pada Rabu mencadangkan kerajaan supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan Ops Gasak terhadap mereka berkaitan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula) Zarina Ismail berkata penangguhan pelaksanaan operasi itu perlu dilakukan sehingga sesi libat urus bersama pemain industri, khususnya persatuan dobi diadakan dan persetujuan dicapai.

“Peralihan kepada penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder seberat 14 kilogram adalah peningkatan lebih daripada dua setengah kali ganda berbanding kadar bersubsidi sebelum ini iaitu RM27 hingga RM30.

“Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko gulung tikar kerana tidak mampu menampung peningkatan kos yang mendadak, selain ia juga memberi impak langsung kepada kos sara hidup pengguna akibat kenaikan kos perkhidmatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Turut hadir Setiausaha Agung Mula Mohd Hafizul Razali serta wakil Persatuan Dobi Malaysia (MLA) dan Persatuan Pengusaha Dobi Layan Diri Malaysia (PPDLDM).

Pada 18 April lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementerian akan melaksanakan Ops Gasak mulai 1 Mei bagi membanteras penyelewengan subsidi gas memasak.

Armizan berkata ketirisan subsidi gas memasak perlu ditangani segera kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button