Berita

Tanggapan ketenteraan tidak sesuai untuk wanita adalah salah – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa anggapan atau perspektif bahawa bidang ketenteraan tidak sesuai kepada wanita adalah tidak lagi relevan.

Seorang ibu yang lembut dalam mendidik dan membimbing anak-anak, terselit ciri-ciri kepimpinan dan ketegasan seorang ibu.

Rata-rata wanita sekarang juga berpelajaran tinggi, mempunyai pekerjaan dan berkedudukan yang baik, bersifat kepimpinan dan berkaliber dalam tugasan. Seseorang seharusnya diberi merit dan penghargaan berdasarkan pencapaian kendiri mereka dan bukanlah berdasarkan kepada aspek jantina sahaja.

Demikian titah baginda ketika berkenan merasmikan “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) : Women in Search of Excellence – WiSE, Siri ke-8” anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan YTF melalui FB UPNM dengan tajuk ‘Cabaran Wanita Dalam Keselamatan’ pada pagi tadi

Terdahulu daripada itu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah menyampaikan kata-kata aluan dalam program yang diurusetiakan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menambah bahawa ‘Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, kaum wanita seharusnya difahami sebagai seseorang yang mempunyai keyakinan, kecenderungan, minat dan perspektif yang pelbagai. Memberi persepsi negatif sebelum memberi peluang kepada wanita amat menyukarkan mereka untuk bekerjasama dengan orang lain. Hari ini, lebih ramai wanita diberi kepercayaan untuk mengemudi tampuk kepimpinan, baik dalam bidang ketenteraan dan keselamatan mahupun dalam bidang lain seperti korporat dan pendidikan’.

Jelas Tuanku Raja Muda lagi, ‘Bagi wanita berkerjaya yang telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat, mereka sentiasa mempunyai dilema samada memilih keluarga ataupun meneruskan kerjaya. Kesefahaman antara suami isteri amatlah penting, dan tugas serta peranan seorang ibu dan isteri mesti ditunjang suami demi kebahagiaan bersama. Selain itu dorongan dan sokongan dari orang rapat dan keluarga juga penting untuk menjaga kestabilan emosi dan mental seseorang. Ini adalah kerana ada sesetengah majikan mendesak pekerjanya untuk sentiasa komited dan kompeten dalam tugas dan tanggungjawab mereka. Polisi kerja dan kehidupan yang seimbang (work life balance) akan membolehkan pekerja wanita memberi tumpuan tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing’.

Perasmian penutup webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF di akhir program pada sebelah petangnya.

Foto : Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button