Nasional

Tangani segera kekurangan pekerja asing – MPN

KERAJAAN diminta menyelesaikan segera isu kekurangan pekerja asing ekoran jumlah kemasukan pekerja asing ke negara ini yang terlalu kecil berbanding 467,223 kuota diluluskan dengan jumlah levi sudah dibayar berjumlah RM713,890 sehingga 12 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, dalam tempoh itu hanya 76,000 kemasukan tenaga kerja asing dari 12 negara direkodkan.

“Kita memohon Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mempertingkatkan proses pengambilan pekerja asing berikutan banyak sektor negara ini bergantung tinggi kepada tenaga kerja luar.

“Dalam pada itu, kerajaan perlu menumpukan kepada peningkatan pelaburan dan perdagangan bagi memastikan pemulihan ekonomi negara terus dapat dijana.

“Ini kerana dalam Pemulihan Negara 2.0, isu pelaburan, perdagangan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), tenaga kerja antara yang perlu diberi keutamaan,” katanya pada taklimat MPN bersama media, baru-baru ini.

Menurut Sulaiman, jumlah permohonan pekerja asing adalah seramai 1,152,276 orang, namun 467,223 diluluskan sekali gus memperlihatkan jurang besar atau kekurangan 685,053 tenaga kerja asing.

“Sektor perkhidmatan paling mendapat permintaan tinggi iaitu lebih setengah juta keperluan bagi mengisi pekerjaan sektor borong dan runcit, hotel, kedai, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo di lapangan terbang serta pelabuhan, pulau peranginan, pusat urut kaki, spa serta restoran.

“Sementara sektor lain seperti pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan serta perlombongan dan kuari menerima kemasukan jumlah kecil berbanding permintaan,” katanya.

Katanya, daripada 76,000 kemasukan itu, Nepal mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 33,873 orang, diikuti Indonesia (14,021) dan Thailand (11,106), Myanmar, India serta lain-lain.

“Dalam konteks rantaian bekalan yang terjejas, banyak kegiatan eksport tergendala (disebabkan pandemik COVID-19).

“Bagaiamanapun, dalam proses pemulihan negara, prestasi Pelabuhan Klang dilihat bertambah baik. Hab pelabuhan itu berupaya menarik kemasukan kargo dan sektor pelabuhan amat membantu kita meningkatkan eksport,” katanya.

Beliau turut berharap, agensi kerajaan seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dapat melakukan kajian lebih terperinci bersama universiti bagi mencari penyelesaian seterusnya memantapkan ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman memaklumkan, sejak penubuhan MPN pada 21 Julai 2021 hingga mesyuarat terakhir 29 Ogos lalu, sebanyak 95 keputusan dikemukakan pihaknya kepada kerajaan.

“Daripada jumlah itu, 86 keputusan diluluskan Kabinet; 69 berkaitan isu ekonomi dan sosial serta 26 keputusan berkaitan pentadbiran, selain hanya sembilan dalam proses kelulusan,” katanya.

“Justeru, kerajaan perlu mengambil tindakan segera supaya dapat mempercepatkan kadar pemulihan sosial dan ekonomi negara.

“Selain itu, kerajaan memudahkan kaedah permohonan pinjaman dan pelaksanaan semula moratorium kepada PMKS; memperkasakan sekuriti makanan; mengatasi permasalahan keciciran pembelajaran dan menaik taraf infrastruktur dan pelabuhan demi merancakkan lagi pemulihan ekonomi negara,” katanya. – SM

(Visited 285 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button