Politik

Tangani Covid-19 secara saintifik, pertahankan demokrasi

KERAJAAN disaran untuk menangani krisis kesihatan yang dicetuskan oleh Covid-19 dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada Perlembagaan dan demokrasi.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang tindakan yang membelakangkan sains dalam mengawal pandemik itu akan menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan Perlembagaan.

Tindakan itu juga akan meletakkan negara dan rakyat Malaysia dalam keadaan yang lebih sulit dan memburukkan lagi keadaan.

“Tanganilah krisis ini dengan mempertahankan perlembagaan, membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemaskan respons sistem kesihatan dan keselamatan awam dan mengutamakan kepentingan rakyat biasa dengan tidak menambahkan kesususahan kepada mereka,” kata Mohamad.

Menurut Mohamad, wabak Covid-19 bukan suatu krisis kesihatan yang unik kepada Malaysia.

Sebaliknya, pandemik virus corona adalah wabak global yang juga dihadapi oleh hampir semua negara lain di dunia.

Apa yang membezakan setiap negara terhadap wabak itu ialah skala kebolehjangkitan dan jumlah korban yang dihadapi.

Kata Mohamad, sehingga kini Malaysia masih berada dalam keadaan yang jauh lebih baik dari kebanyakan negara lain.

“Kemampuan sistem kesihatan Malaysia menangani krisis ini adalah teruji dan telah diiktiraf sebagai salah satu negara dengan tindakan terbaik dan wajar dicontohi.

Justeru, apa jua tindakan menangani krisis ini mestilah memaparkan keupayaan Kerajaan bertindak dengan wajar, saintifik dan mengambil kira kepentingan awam,” tegas Mohamad.

Mohamad juga berkata, Malaysia tidak berada dalam kelumpuhan ekonomi, sistem kesihatan dan keselamatan awam.
Malah Malaysia telah berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang terfokus, dirangsang dengan pelbagai stimulus yang selari dengan kepentingan rakyat dengan sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik walaupun tertekan.

Beliau yakin, rakyat yang terkesan dengan krisis Cobid-19 akan terus patuh dengan protokol kesihatan yang diwartakan.

Malah rakyat Malaysia terus gigih berikhtiar memberdayakan diri mereka dengan pekerjaan dan perniagaan bagi kelangsungan kehidupan.

“Saya menyeru agar Kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berpelembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data.

“Pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan,” rayu Mohamad.-SM

 

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button