Nasional

Tanah Yang Diteroka Secara Haram Tetap Haram, Mana Mungkin Jadi Halal!

Dua hari lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak tegas dengan memusnahkan kebun durian Musang King seluas 101 hektar yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam.

Saya yakin, banyak lagi kawasan yang diterokai secara haram, bukan setakat 101 hektar. Tidak mustahil ada ribuan hektar lagi. Bukan sahaja di negeri Pahang tetapi juga negeri-negeri lain, cuma belum meletup sahaja lagi.

Apapun, tahniah saya ucapkan di atas keberanian pihak berkuasa, walaupun pemimpin ultra kiasu tampil datang bersama membela peneroka haram membantah, kononnya mendapat kebenaran mahkamah.

Pihak berkuasa tidak perlu sedikit pun merasa gentar meskipun ultra kiasu datang bersama wakil rakyat mereka. Tanah yang diteroka secara haram tetap haram, mana mungkin menjadi halal. Bukannya sedikit, tetapi beribu-ribu ekar.

Suka atau tidak, penerokaan secara haram tanah kerajaan, mempunyai kaitan rapat dengan amalan rasuah. Rasuah ini menjadi punca kepada segala matapetaka ini.


Mengikut pengalaman saya selaku orang Cina, yang memahami serba sedikit psikik orang Cina, jarang sekali orang Cina akan meneroka secara haram jika tidak mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa. Bila sudah yakin sahaja, baharu mereka ada keberanian untuk melakukannya.

Kalau tidak percaya, cuba tengok, kita agak jarang jumpa, orang Cina membina rumah ibadat di kawasan tanah kerajaan, berbangsa bangsa satu lagi.

Begitu dengan kegiatan haram, walaupun namanya haram seperti judi haram, kelab malam haram, edar dadah haram, pelacuran haram dan sebagainya, mereka tidak begitu berani untuk membuka perniagaan ini jika tidak ada ‘orang kuat’ di belakangnya.

Akibatnya, yang rosak siapa? Fikirlah sendiri.

Sebab itu, saya merayu sangat-sangat, agar rasuah ini dapat dibenteras hingga ke akar umbi. Saya cukup bimbang jika rasuah ini tidak dibenteras hingga ke akar umbi, bangsa Melayu mengemis di bumi sendiri dan tidak mustahil boleh lenyap.

Tidak masuk akal sama sekali memikirkan, sesuatu dalam bidang kuasa kita atau genggaman kita, tetapi kita tidak mampu untuk melakukannya.

Sekadar memberikan beberapa contoh lain, seperti tanah Rizab Melayu hilang, tapak sekolah hilang, sungai dicemari, jual passport, jual kad pengenalan, pengedaran dadah berleluasa, kartel daging, permit pekerja asing dan banyak lagi. Terutama melibatkan jabatan penguatkuasa seperti PBT, polis, kastam, imigresen dan sebagainya.

Kenapa kita tidak mengambil pengajaran, negara China tewas kepada tentera Jepun pada tahun 1894 walaupun kekuatan pertahanan China memiliki kapal perang yang lebih canggih daripada Eropah. Ini disebabkan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin tinggi China ketika itu. Sehingga kini, pemimpin-pemimpin China dengan tegas memberi amaran bahawa parti dan negara akan musnah jika rasuah tidak dibenteras.

Mengambil pengajaran ini, apakah tidak mungkin Melayu akan tewas, dan telah pun tewas, diikuti selepas itu akan mengemis di bumi sendiri. Paling saya bimbang, suatu hari nanti, mungkin tidak ada lagi bumi yang boleh dipijak. Semua sudah tergadai kepada orang lain.

Justeru, tindakan segera perlu dilakukan tanpa rasa takut. Mereka yang terlibat dengan amalan rasuah mesti dihukum dengan sekeras-kerasnya sepertimana yang dilakukan oleh negara China.

Di China, pemberi dan penerima akan dihukum dengan berat, sehingga sampai peringkat mati. Berbanding dengan negara kita, biasanya penerima sahaja yang dikenakan hukuman, itu pun tidak berat berbanding dengan pemberi. Belum pernah lagi mereka yang terlibat dalam rasuah dihukum mati.

Negara China cukup mengambil pengajaran apa yang telah mereka alami dalam Perang Candu, Perang China-Jepun.

Misalnya, pada 6 Januari 2021, bekas ketua syarikat pengurusan aset terbesar milik kerajaan China dijatuhkan hukuman mati semalam kerana menerima rasuah berjumlah AS$260 juta (RM1.04 bilion).

Lai Xiaomin, bekas anggota Parti Komunis China, didapati bersalah kerana terlibat secara serius dalam rasuah. Apartmennya di Beijing dipenuhi dengan wang rasuah. Menurut mahkamah di Tianjin, Lai menunjukkan ‘niat jahat yang melampau’, menyalahguna kedudukan bagi mendapatkan sejumlah besar sogokan yang disifatkan ‘sangat besar’ dan turut melabelkannya sebagai ‘sangat serius’.

Beliau, adalah bekas pengerusi China Huarong Asset Management Co (Huarong) yang disenaraikan di Hong Kong sebagai kumpulan pengurus hutang bermasalah. Huarong adalah satu daripada empat syarikat yang ditubuhkan pada 1999 untuk membantu membersihkan hutang lapuk yang menjejaskan sistem perbankan China.

Syarikat ini, kemudian berkembang menceburi bidang perniagaan pelaburan, pinjaman dan hartanah. Sabitan Lai bermula pada April 2018 ketika penyiasat melucutkan jawatannya dan disingkirkan daripada menganggotai Parti Komunis China. Beliau, dipercayai menyalah gunakan jawatannya bagi menggelapkan dana lebih 25 juta yuan (RM15.27 juta) antara 2009 dan 2018 (New Straits Times, 6 Jan 2021).

Cuba banding dengan negara kita. Siapa yang telah disabit dan sedang disabitkan? Bagaimana kedudukan mereka selepas ini? Hukuman bentuk bagaimana yang akan dikenakan? Adakah akan sampai kepada hukuman mati? Jauh sekali bukan.

Justeru, mari sama-sama kita saksikan sama ada kita serius atau tidak? Apakah kita mahu tunggu sehingga negara ini tergadai, atau telah lenyap satu bangsa, baharulah tindakan tegas mahu dikenakan.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah

(Visited 105 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button