Alam SekitarBencana alam

Tanah runtuh di Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah – Bomba

Runtuhan tanah yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights di sini semalam, dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam tadi (Jumaat), yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

“Ketika ini, pihak saya bersama polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya giat memindahkan mangsa untuk ditempatkan di dewan orang ramai.

“Malah, kerja-kerja pencerunan akan dilaksanakan pagi ini bersama pihak-pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis mengawal ketat lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan.


Semalam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

— BERNAMA

(Visited 58 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button