Politik

Tanah Raub: MCA wakil pembangkang atau kerajaan?

TINDAKAN MCA menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu para pekebun yang menggunakan tanah Kerajaan Negeri Pahang secara tidak sah dipersoal.

Ini kerana, tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu seolah-olah mengasak kerajaan negeri yang juga diperintah oleh BN.

Malah tindakan tersebut juga dikatakan seperti membenarkan kesalahan pekebun terbabit yang menceroboh tanah Kerajaan Negeri secara haram.

“Mula-mula organisasi bukan kerajaan (NGO) mereka bersuara dan berdemo.

“Kemudian DAP sambut dan asak sebagai pembangkang.

“Akhir sekali sebagai pelengkap, MCA asak sebagai parti komponen kerajaan dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas.”

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan MCA membantu sekumpulan 111 pekebun Durian Musang King di Raub, Pahang.

Terdahulu, 111 pekebun di Raub itu mengadakan bantahan terhadap arahan Kerajaan Negeri supaya mengosongkan tanah kebun berkenaan.

Arahan itu dikeluarkan susulan tanah tersebut bukan milik pekebun, sebaliknya diceroboh dan sebahagian kawasannya dikatakan sebagai hutan simpan.

Namun, arahan itu mendapat tentangan berikutan para pekebun berkenaan sudahpun mengusahakan kawasan itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Malah, ada sebahagian mereka didakwa mendapat pinjaman bank bagi mengusaha dan mengkomersialkan Durian Musang King.

Justeru, sebelum ini Pembela turut mempersoalkan pihak berkuasa Pahang yang tidak mengambil sebarang tindakan dalam tempoh lebih 30 tahun kebelakangan ini.

Malah, mereka juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan semua pihak supaya tidak melihat isu ini sebagai modal politik kepartian.

Sebaliknya, ia perlu dilihat secara menyeluruh termasuk hal perundangan dan isu-isu lepas yang merugikan kerajaan dan rakyat.

“Sebab itu saya ajak kita semua lihat isu ini dari semua sudut, secara menyeluruh.

“Bukan sekadar ‘kerajaan lawan pembangkang’ atau ‘pembangkang lawan kerajaan’.

“Ia bukan soal kepartian, tetapi ia soal agenda dan kepentingan.

“Maka, jangan terlalu naif dan terlalu taksub kepartian dalam menilai isu sebegini kerana akhirnya kita akan rugi sebagaimana kita sentiasa rugi selama ini,” – SM

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button