JenayahNasional

Azam Baki disapina hadir mesyuarat PSC Rabu depan

SATU sapina telah dikeluarkan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk hadir ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Rabu depan (19 Januari ini).

Ia berhubung dakwaan pemilikan saham Azam dalam dua buah syarikat sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

“Kami diberitahu bahawa setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha telah menulis surat meminta beliau hadir ke mesyuarat itu pada Rabu depan,” kata ahli PSC, Chan Foong Hin kepada Malaysiakini melalui kiriman mesej.

Foong Hin ketika ditanya sama ada PSC turut memanggil Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang,  beliau berkata, beliau difahamkan hanya Azam sahaja yang akan hadir ke mesyuarat itu.

“Setahu saya, hanya Azam yang dipanggil ke mesyuarat PSC. Terdapat peruntukan dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk menetapkan perintah kehadiran mana-mana saksi,” katanya.

Menurut Foong Hin lagi, sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi juga telah memanggil Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Di bawah Seksyen 16 Akta tersebut, Majlis dan mana-mana jawatankuasa yang diberi kuasa sewajarnya dengan perintah Majlis untuk memanggil orang-orang, dokumen atau kertas boleh memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapan Majlis atau di hadapan jawatankuasa itu, dan mengemukakan apa-apa kertas, buku, rekod atau dokumen dalam milikan atau di bawah kawalan orang itu.

Foong Hin berkata, PSC sebelum ini yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman tidak membentangkan laporan mesyuarat dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Bagaimanapun mesyuarat kali ini mungkin berbeza.

Foong Hin menambah, PSC mungkin merangka laporan susulan pertemuannya dengan Azam.

Sementara itu, seorang lagi ahli PSC, William Leong berkata, laporan PSC akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas siasatan berhubung pemilikan saham Azam selesai.

Leong yang juga Ahli Parlimen Selayang (PKR) berkata, sebarang cadangan berkaitan pemilikan saham itu hanya boleh dilakukan selepas siasatan.

“Laporan jawatankuasa dibentang di Dewan Rakyat kepada semua ahli Parlimen dan rakyat boleh mendapat maklumat daripada laporan berkenaan,” kata Leong kepada Sinar Harian semalam.

Azam menjadi bualan baru-baru ini selepas timbul dakwaan bahawa dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam merupakan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ahli parlimen pembangkang menuntut isu melibatkan pemilikan saham Azam dirujuk kepada jawatankuasa parlimen kerana badan pemantau SPRM gagal menangani isu itu dengan sewajarnya.

Desakan ini dibuat selepas Abu Zahar membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku pada 5 Januari lalu. – SM

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button