fbpx
Rencah Hidup

Tan Sri Abdul Rahman Arshad meninggal dunia

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah meninggal dunia awal pagi tadi. Perkara itu dimakluman Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Facebooknya hari ini. Abdul Rahman merupakan bekas guru Anwar.

“Hari yang amat sedih bagi saya tatkala guru saya dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah kembali menemui ilahi awal pagi tadi.

“Saya berkesempatan mengunjungi beliau beberapa minggu yang lalu. Mendoakan kekuatan dan kecekalan buat keluarga saat ditimpa ujian ini. Semoga Allah mencucuri roh arwah dengan rahmah dan maghfirahNya,” kata Anwar.

Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dilaporkan menjalanan pembedahan di kepala beberapa minggu lalu.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi, hari ini di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor.


Bahagian Governan dan Sekretariat Universiti, Pejabat Pendaftar UiTM Shah Alam dalam satu kenyataan pula  berkata, jenazah Allahyarham akan dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, Selangor.

Jenazah kemudiannya akan dibawa pulang ke Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka untuk dikebumikan.

Allahyarham Abdul Rahman dilantik sebagai Pro Canselor UiTM pada 15 Disember 2002.

Abdul Rahman yang dilahirkan di Masjid Tanah mendapat pendidikan awal  di negeri itu sebelum melanjutkan pelajaran di University Malaya.

Beliau kemudian menyambung pelajaran di University of Singapore, University of Reading, New Zealand Administrative Staff College, Harvard Business School dan akhir sekali mengambil PhD di University of East London.

Abdul Rahman memulakan karier sebagai guru di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan naik setapak demi setapak sehingga menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran di Pulau Pinang dan Kedah, dan selepas itu menjadi Pengarah Pelajaran Kelantan.

Dari Kelantan dia meneruskan karier di Kementerian Pelajaran menjadi Pengarah Perancangan Pendidikan dan Penyelidikan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan akhirnya sebagai Ketua Setiausaha sebelum bersara pada 1991.

Abdul Rahman juga pernah menjadi diplomat di Maghribi, Manila dan Thailand. Selain itu beliau juga pernah menjadi Pengerusi Bank Industri, Exim Bank dan Malaysian Export Credit Insurance Bhd.

Dalam pendidikan, dia dilantik sebagai Pengerusi UiTM dan menjadi Naib Canselor sejak 2004. Pada 2006 Abdul Rahman dilantik sebagai Canselor University College of Sedaya International  (UCSI) dan tahun berikutnya sebagai  Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).-SM

 

 

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button