Nasionalpilihan

Tampil sebagai institusi sosial dalam komuniti, KRT berjaya tingkatkan integrasi antara kaum

KOMUNITI Rukun Tetangga (KRT) adalah sebuah institusi sosial dalam komuniti dan penubuhannya di sesebuah kawasan berjaya meningkatkan integrasi antara kaum.

Hal ini demikian kerana, KRT bukan sahaja berperanan dalam menghimpunkan komuniti daripada pelbagai kaum serta latar belakang malah aktiviti yang dijalankan memupuk keharmonian.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, peranan KRT dalam melaksanakan program adalah bagi meningkatkan kualiti hidup dengan mengukuhkan perpaduan.

“Dengan adanya KRT, ia menjadi pemangkin kepada kita untuk terus memperkasakan masyarakat setempat dalam melindungi diri daripada apa-apa aktiviti yang mungkin tidak sihat.

“Selain itu, KRT menjadi perantara apabila berlaku perkara yang boleh mencetuskan defisit sosial dalam masyarakat sekali gus menjadi pendamai dalam menyelesaikan perselisihan masyarakat,” katanya.

Halimah berkata demikian dalam Sidang Dewan Rakyat semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Dalam pada itu, Halimah turut memaklumkan sehingga Jun 2022, sebanyak 740 KRT telah pun memiliki kabin dan ada juga sesetengah KRT memiliki pusat operasi sendiri di Pusat Rukun Tetangga.

“Selain itu, ada KRT beroperasi di Pusat Perpaduan dan Kompleks Perpaduan dan secara keseluruhannya, 1,246 KRT telah pun memiliki premis pejabat, tempat beroperasi dan sebagainya.

“Bagi pengagihan kabin, keutamaan akan diberi kepada KRT yang aktif dan ditubuhkan lebih 10 tahun namun masih tertakluk kepada peruntukan yang diterima,” katanya.

Mengulas lanjut soalan Ahli Parlimen Sekijang, Halimah memaklumkan di negeri Johor terdapat 837 KRT termasuklah di Segamat 64 KRT dan Parlimen Sekijang memiliki 17 KRT. – SM

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button